Ajaran GISBH sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam: MKI

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr Nooh Gadut berkata, GISBH turut mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat

1:07 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) hari ini memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Dr Nooh Gadut berkata mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24-26 Sept lepas yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.

Beliau berkata ajaran dibawa Nasiruddin Mohd Ali daripada syarikat GISBH dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana individu lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan termasuklah yang berikut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. 

Ajaran dibawa dalam GISBH ialah Asy-Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi serta Asaari Muhammad akan muncul bersama Asy-Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi/ Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai pembantunya di akhir zaman.

“Asaari bin Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya manakala air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat.

“(GISBH turut) mengamalkan ekonomi ma’ash yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata GISBH turut mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.

Sehubungan itu katanya, mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman itu serta dilarang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya atau ejen. 

“Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran, pegangan dan fahaman itu hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha,” katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Muzakarah MKI mencadangkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberikan peruntukan atau pembiayaan yang bersesuaian bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata orang ramai tidak boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah apa-apa filem, audio visual, rakaman, laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran, pegangan dan fahaman GISBH.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi MKI dan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 pada 23 dan 24 Okt lepas. 

“Dalam hal ini, Majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri-negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya. – 14 November, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related