Lambakan rumah tak terjual: Pemaju perlu jual dahulu 80% sebelum bina unit baharu

'Kerajaan perlu melihat kesan buruk jangka panjang sekiranya lambakan itu berterusan' pakar luahkan kebimbangan

11:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Kerajaan disaran mewajibkan pemaju perumahan menyelesaikan sehingga 80% penjualan rumah yang siap dibina sebelum memberi kelulusan pembinaan projek perumahan baharu, bagi mengatasi isu lambakan penawaran.

Bercakap kepada Scoop, Timbalan Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, pada masa sama kerajaan juga perlu memastikan harga hartanah terutama unit kediaman adalah mengikut kemampuan.

Ia berdasarkan pendapatan purata penduduk setempat, mengikut negeri serta kawasan dan taburan penduduk mengikut pendapatan isi rumah.

“Contohnya jika purata isi rumah penduduk di sesebuah negeri berkadaran dengan keupayaan untuk membeli sebuah hartanah berjumlah RM300,000, maka harga rumah yang ditawarkan juga mestilah tidak melebihi RM300,000.

“Sekiranya taburan penduduk golongan B40 di sesebuah negeri sebanyak 50% maka penawaran jenis hartanah kediaman kos rendah juga mestilah sebanyak 50% mengikut taburan penduduk berdasarkan pendapatan isi rumah ini,” katanya kepada Scoop hari ini.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bagi suku ketiga tahun ini, jumlah keseluruhan kediaman tidak terjual ialah sebanyak 21,968 unit membabitkan nilai RM13.85 bilion.

Kediaman berharga RM300,000 hingga RM500,000 menjadi komponen hartanah paling banyak tidak terjual, mewakili 31.9% atau 7,003 unit bernilai RM2.78 bilion.

Kediaman berharga RM500,000 hingga RM1 juta (29.4%) mencatatkan 6,462 unit tidak terjual bernilai RM4.3 bilion.

Manakala, hartanah di bawah RM300,000 (27.3 %) dengan 5,999 unit atau RM1.32 bilion dan hartanah melebihi RM1 juta (11.4 %) sebanyak 2,504 unit atau RM5.45 bilion.

Dalam laporan sama, kediaman jenis bertingkat menjadi komponen paling banyak tidak terjual membabitkan 13,455 unit, lebih separuh atau 61.2%, diikuti hartanah jenis teres sebanyak 5,187 unit atau 23.6% dan lain-lain (3,326 unit) atau 15.1%.

Secara keseluruhan, NAPIC mendedahkan kediaman siap dibina tidak terjual mencatat penurunan kepada 21,968 unit bernilai RM13.85 bilion pada suku ketiga 2024, berbanding 22,642 unit bernilai RM14.24 bilion yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Mengulas lanjut, Muhammad Iqmal berkata, kerajaan perlu komited dalam memastikan isu lambakan hartanah terutama unit kediaman dapat diatasi, bukan sekadar mengambil tindakan segera seperti mengurangkan duti setem dan melonggarkan syarat pemilikan unit kediaman bagi warga asing.

“Kerajaan perlu melihat kesan buruk jangka panjang sekiranya lambakan itu berterusan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Ho Hon Sang berkata, sebahagian besar rumah yang tidak terjual terdiri daripada lot Bumiputera walaupun setelah tiga tahun siap.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan persatuan, pada separuh pertama tahun ini, 47% daripada lot Bumiputera yang tidak terjual berharga antara RM500,000 hingga RM700,000.

“Manakala 29%, terdiri daripada rumah-rumah berharga antara RM300,000 dan RM500,000.

“Selain lot Bumiputera, ahli Rehda turut maklumkan permintaan rendah dan penolakan pinjaman pembiayaan akhir oleh bank sebagai punca utama terdapat lebihan rumah tidak terjual,” katanya.

Beliau berkata, kadar purata permohonan pinjaman hartanah yang ditolak pada tahap 31%.

“Ini bermakna, daripada 100 permohonan pinjaman, 31 daripadanya mungkin ditolak,” katanya.

Tambahnya, ahli juga berdepan cabaran pembinaan pada separuh pertama tahun ini, dengan harga bahan binaan yang tinggi memberikan impak kritikal terhadap operasi perniagaan. – 22 November, 2024.

Topics

 

Hangat

Rumah agam Sharifah Aini dirobohkan, ada persoal mengapa kerajaan tidak jadikan muzium?

Rumah agam milik biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang selama ini menjadi lambang kemewahan anak seni tempatan yang benar-benar sukses dalam bidang nyanyian sedang dalam proses untuk dirobohkan.

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

Mat Sabu says rice supply can last four to five months

There is sufficient rice supply to cover the country’s domestic needs for the next four to five months, said Agriculture and Food Security Minister Datuk Seri Mohamad Sabu.

Related