KUALA LUMPUR – Cadangan supaya hanya murid perempuan sekolah rendah yang belum baligh sahaja membuat persembahan tarian di hadapan khalayak umum merupakan langkah mundur yang menyekat kebebasan wanita.
Penolong Setiausaha Publisti Dapsy Kebangsaan, Syaheera Ghafar dalam kenyataannya turut menyifatkan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Terengganu, Zuraida Md Noor itu sebagai memberikan stigma negatif terhadap golongan wanita.
“Mengkategorikan golongan wanita serta melarang wanita daripada membuat persembahan tarian dan sebagainya di hadapan awam merupakan cadangan langkah mundur yang menyekat kebebasan wanita.
“Jika anak-anak perempuan kita disekat sejak kecil daripada meneroka minat, bakat serta kemampuan diri mereka, bagaimana kita dapat mengimbangi ketidaksamarataan gender yang masih wujud antara lelaki dan wanita hari ini,’’ soalnya.
Baru-baru ini, Adun Ladang, Zuraida Md Noor dalam perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menyarankan kerajaan negeri untuk hanya membenarkan murid perempuan sekolah rendah yang belum baligh sahaja membuat persembahan tarian depan khalayak umum.
Menurut Adun PAS itu, saranan itu adalah sebagai memantapkan lagi pelaksanaan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan di Terengganu.
Mengulas lanjut, Syaheera berkata, sebagai pemimpin wanita, peranan Zuraida sebagai seorang Adun sangat besar dalam mengutarakan cadangan serta membina polisi atau dasar yang jauh dari bias gender, stereotaip dan stigma negatif terhadap golongan wanita.
Ini kerana beliau sendiri di satu posisi dengan tanggungjawab besar khususnya dalam mewujudkan masyarakat yang lebih progresif.
“Melangkah ke arah dunia tanpa sempadan hari ini, besar harapan saya agar pemimpin-pemimpin wanita hari ini tanpa mengira parti politik bersama-sama dapat memberikan cadangan atau merangka polisi atau dasar yang dapat mengimbangi jurang gender yang wujud dalam pelbagai lapangan.
“Bersama-sama kita membina masyarakat yang lebih adil serta ideal dengan kemajuan hari ini,’’ katanya. – 24 November, 2024