‘Jika benar ada draf MoU peruntukan MP pembangkang yang kedua, kita nak tengok dulu, baru buat ketetapan’ : Afnan

7:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pembangkang mahu melihat draf kedua Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum membuat sebarang ketetapan mengenainya.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden ketika dihubungi Scoop berkata, seandainya kerajaan mengemukakan draf baharu, ia perlu dikongsi dan dilihat terlebih dahulu.

Beliau bagaimanapun menyambut baik kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk kembali berunding berkait MoU itu.

Namun katanya, kerajaan wajar memastikan draf MoU berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak menutup fungsi mereka sebagai pengimbang sekiranya perbincangan kembali diadakan.

“Jika benar ada draf (MoU) yang kedua, kita (MP) nak tengok dulu, baru kita buat ketetapan. Apapun draf yang hendak dibuat, syarat-syaratnya tak boleh menutup fungsi pembangkang sebagai pengimbang.

“Duit peruntukan itu adalah duit rakyat. Masa nak kutip cukai, tak ada syarat tak ada MoU, tapi masa nak agih, ada syarat ada MoU pula,” katanya kepada Scoop hari ini.

Terdahulu, Hamzah dilaporkan berkata, PN bersedia untuk kembali berunding mengenai MoU berkenaan.

Beliau berkata, pertemuan telah diadakan antara beliau dan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini.

Susulan itu Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan mengalu-alukan PN untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan MoU) berkenaan.

Beliau berkata, proses perbincangan masih ada walaupun pembangkang sebelum ini pernah menolak tawaran tersebut.

Mengulas lanjut, Afnan yang juga Ketua Pemuda PAS berkata, negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Perlis memberi peruntukan kepada pembangkang tanpa ada apa-apa syarat atau MoU.

“Itu yang boleh dicontohi, adil kepada semua,” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS dan PN menyambut baik dan melihat kepada keperluan untuk usaha bagi perundingan itu perlu diteruskan.

Jelasnya, mandat diberi kepada ketua pembangkang dan ketua whip bagi meneruskan perundingan.

Peranan pembangkang untuk semak imbang dalam sistem demokrasi perlu diiktiraf dan peruntukan kepada MP perlu dilaksanakan.

“Kita harap peruntukan perlu diberi pada awal tahun depan dan harap ia dapat diselesaikan,” katanya.

Baru-baru ini, Fadillah ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat memberitahu rundingan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang secara individu masih lagi terbuka.

Katanya, rundingan secara kumpulan besar iaitu PN sudah tertutup namun mengalu-alukan sekiranya ada individu dari blok pembangkang mahu berunding dengan beliau.

Setakat ini, hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi maklum balas terhadap surat dan emel berkaitan perkara itu yang akan dibincangkan Whip kerajaan.

September lalu, Hamzah mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Hamzah memberitahu penolakan draf MoU itu dibuat atas empat sebab fundamental kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

Sebelum itu, Takiyuddin mendedahkan terdapat tujuh syarat didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan dituntut. – 27 November, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related