KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memperkemaskan penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan negeri sepanjang tempoh Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac 2025.
Menurut Perdana Menteri, penduduk di kawasan terkesan menjadi keutamaan tertinggi sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau memberitahu, sehingga jam 9.32 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak adalah sebanyak 37,189 orang membabitkan 11,385 keluarga.
“Sebanyak 322 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negara.
“Kelantan merekodkan mangsa banjir tertinggi iaitu 30,582 orang melibatkan 9,223 keluarga. 157 PPS juga sudah dibuka di sembilan daerah di Kelantan,’’ katanya sebelum memulakan sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), hari ini.
Anwar turut memuji Nadma dan seluruh jentera termasuk kerajaan negeri yang memberikan kerjasama dan persiapan lebih pada tahun ini.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Nadma dan seluruh jentera, termasuk kerajaan negeri yang memberi kerjasama persiapan lebih baik tahun ini,” katanya. – 28 November, 2024