KUALA LUMPUR – Sebuah pusat perubatan di Klang, Selangor, Hospital Bersalin Razif (HBR) menafikan dakwaan pihaknya ‘sengaja’ menahan jenazah bayi lelaki, Muhammad Adham Mikail yang meninggal dunia pada 24 November lalu seperti tular di media sosial, baru-baru ini.
Menerusi kenyataan dikongsikan di media sosial, pihak pengurusan hospital berkata selepas bayi tersebut disahkan meninggal dunia, permit untuk mengebumikan jenazah sudah ditandatangani dan mereka telah memaklumkan kepada bapa bayi tersebut untuk menguruskan upacara pengebumian pada keesokan hari (25 November).
Namun, pihak hospital mengatakan mereka mengalami kesukaran untuk berbincang dengan bapa bayi tersebut berhubung hal pengebumian anaknya dari hari ke sehari.
“Permit untuk urusan pengebumian telah ditandatangani dan doktor juga telah memaklumkan kepada suami (bapa bayi) untuk menguruskan pengebumian pada keesokan hari.
“Si suami kemudiannya meninggalkan hospital mengatakan dia perlu pergi ke tempat lain.
“Pesakit (ibu bayi) dalam keadaan sihat dan dibenarkan keluar pada keesokan hari. Keesokannya, dia memaklumkan kepada pihak hospital, dia tidak mampu membayar bil keseluruhan berjumlah RM2,480. Dia kemudian berkata boleh mengebumikan jenazah dulu sebelum membuat pembayaran. Jadi, kami HBR menunggu suaminya datang untuk urusan pengebumian jenazah.
“Namun, dari hari ke hari, kami kerap mengingatkan mengenai urusan pengebumian namun pesakit berkata suaminya akan menguruskan perkara tersebut.
“Percubaan pihak hospital untuk cuba berbincang dengan suaminya mengenai hal pengebumian juga tidak berjaya,” katanya.
Kemudian, hospital menyarankan pesakit untuk mendapatkan pertolongan daripada pihak polis namun pesakit merayu enggan melibatkan polis dalam perkara itu.
“Dia kerap kali berkata semua keputusan adalah daripada suaminya. HBR juga sudah mencuba untuk mendapatkan nombor telefon daripada ahli keluarga pesakit namun dia enggan memberikannya.
“Dia kata dia menyewa sebuah bilik bersama suami dan tidak mempunyai saudara-mara atau rakan yang tinggal berdekatan,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, HBR juga berkata walaupun wanita itu tidak pernah melakukan sebarang pemeriksaan kesihatan sepanjang kehamilan sulungnya itu, namun atas dasar kemanusiaan, mereka tetap merawatnya sehingga selamat melahirkan bayinya.
Namun, bayi malang itu meninggal dunia selepas beberapa minit dilahirkan susulan keadaannya tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan tiada saluran lubang najis.
“Pesakit ini mendakwa ini adalah kehamilan anak pertamanya dan tidak pernah melakukan sebarang pemeriksaan kesihatan sepanjang kehamilan. Dia juga mendakwa hanya memantau keadaan kehamilannya menerusi aplikasi software dalam telefon bimbit.
“Dia dibawa ke hospital oleh suaminya (namun kemudian, dia mendakwa dia tidak pernah berkahwin).
“Pihak hospital tetap menerimanya atas dasar keperimanusiaan, biarpun dia tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan (di hospital berkenaan). Dia kemudiannya dibawa ke dewan bersalin dan selamat melahirkan tidak lama selepas itu. Suaminya tidak menemaninya sepanjang proses kelahiran,” katanya.
Terdahulu, nama HBR hangat diperkatakan netizen selepas didakwa menyimpan mayat seorang bayi lelaki di peti sejuk beku selama dua minggu gara-gara ibu bapanya tidak mampu membayar kos kelahiran di sebuah hospital swasta.
Perkara itu didedahkan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Wan Cai di laman sosial.
Jenazah bayi tersebut akhirnya selamat dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Selangor, pada Isnin selepas bapanya selesai membayar bil hospital hasil pertolongan daripada ahli keluarga, rakan dan pesakit di hospital berkenaan yang bermurah hati membayar baki RM1,800 yang tidak dapat dikumpul oleh bapa bayi itu sebelum ini. – 11 Disember 2024