Batu Puteh: Dr Mahathir dakwa tiga bekas Menteri Kabinet berbohong

Dr Mahathir berkata beliau berasa malu kerana mereka berada di dalam Kabinet pada 2018

6:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR  Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tiga bekas Menteri Kabinet berbohong mengenai keputusan menarik balik permohonan tafsiran dan semakan Pulau Batu Puteh.

Menurut Dr Mahathir, beliau berasa malu kerana mereka berada di dalam Kabinet pada 2018.

“Sepatutnya mereka juga kena panggil (siasat).

“Entah macam mana minit (mesyuarat) Kabinet bocor dan minit Kabinet menunjuk bahawa dakwaan tiga menteri itu tidak benar, bohong.

“Saya rasa malu sebab orang ini duduk dalam Kabinet saya, tapi membohong,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu acara pelepasan Misi Kemanusiaan Banjir ke Kedah dan Perlis di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

Pada 12 Disember lalu, tiga bekas Menteri Kabinet dalam pentadbiran Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Anthony Loke menegaskan keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Puteh, diibuat sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu tanpa merujuk kepada Kabinet.

Dalam kenyataan bersama, mereka menyatakan Dr Mahathir sudah memutuskan perkara itu melalui surat bertarikh 21 Meil 2018 kepada Peguam Cara Negara.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 12 Disember lalu mendedahkan kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Suruhanjaya itu menyimpulkan bahawa keputusan berkenaan dibuat tanpa konsensus Kabinet dan mencadangkan siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415 (b) Kanun Keseksaan kerana menipu.

Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said telah mengemukakan usul mengenai RCI di Parlimen sebagai platform kepada semua Ahli Parlimen untuk membahaskan isu berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Bagaimanapun usul mengenai RCI itu selesai dibahaskan tanpa mempunyai keputusan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata terdapat 13 anggota Jemaah Menteri ketika itu dan apa yang dilakukan katanya adalah mengikut peraturan.

“Masa itu ada 13 orang, kita baru bentuk Kabinet, apa yang saya buat ikut peraturan, tetapi masih kata bukan Kabinet yang buat keputusan.

“Saya tidak akan cakap pendapat, tapi saya akan kata kami (Kabinet) sudah putuskan untuk teruskan dengan kes ini.

“Boleh beritahu kepada Singapura… tetapi kita beritahu kepada Singapura kerana mesyuarat ICJ akan diadakan tidak lama lagi. Kalau kita buat perjanjian dengan Singapura, kita tak boleh tukar perjanjian unilateral, kita kena dapat perjanjian pihak lagi satu.

“Sebab itu kita kena beritahu (Singapura), kalau kita tidak beritahu kita nak teruskan, Singapura akan tolak juga, ia akan kembali kepada keadaan sebelumnya,” katanya. – 17 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related