Pencarian MH370: Ocean Infinity mungkin ada maklumat baru, yakin misi berhasil: pakar

Syarikat robotik berpangkalan di United Kingdom dengan kepakaran tinggi serta memiliki kapal sendiri itu memberi harapan tinggi misteri akan terungkai

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tawaran syarikat Ocean Infinity untuk meneruskan semula operasi pencarian pesawat MH370 mungkin bersandarkan keyakinan usaha mereka mampu membuahkan hasil biarpun menelan kos tinggi.

Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, syarikat berkenaan mungkin mempunyai indikator tertentu atau menjumpai maklumat baharu yang meyakinkan mereka meneruskan pencarian.

Beliau berkata, kesediaan Ocean Infinity menawarkan pencarian itu membawa harapan jelas merungkai misteri, apatah lagi syarikat robotik berpangkalan di United Kingdom itu mempunyai kepakaran tinggi serta memiliki kapal sendiri.

“Ocean Infinity ada kapal serta dron sendiri yang memang pakar dalam pencarian dasar laut, telaga minyak serta membaiki kerosakan dasar laut.

“Saya yakin pencarian kita selama ini mungkin akan berakhir kerana tidak mungkin syarikat berkenaan sengaja mensia-siakan usaha serta modal awal dikeluarnya yang sekurang-kurangnya menelan AS$10 juta (RM45.07 juta),” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau berkata, Ocean Infinity tidak berhadapan dengan risiko kerugian kerana mereka menggunakan teknologi yang dibangunkan sendiri.

“Mereka uji teknologi di tempat yang ada potensi untuk mendapatkan keuntungan dan kalau mereka tidak dapat keuntungan pun sekurang-kurangnya mereka melaksanakan perkara yang mereka perlu lakukan untuk pembangunan teknologi.

“Seperti kita sedia maklum beberapa tahun kebelakangan ini teknologi berkembang pesat terutama teknologi dron dan kali terakhir ketika Ocean Infinity melaksanakan pencarian MH370 pada 2017, memang ada banyak teknologi yang diketengahkan,” katanya.

Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip menerima tawaran syarikat Ocean Infinity meneruskan semula operasi pencarian dasar laut bagi mengesan pesawat MH370.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pada 13 Disember lalu.

Beliau berkata, persetujuan itu berdasarkan prinsip ‘tiada penemuan, tiada bayaran’ (no find, no fee) dengan pencarian dianggarkan di lokasi baharu seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.

Sementara itu, Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat Malaysian Institute of Aviation Technology, Profesor Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, pencarian MH370 membabitkan kegunaan beberapa sumber dan teknologi terkini sekali gus menelan kos tinggi.

“Berikutan itu, sangat bernas data dan informasi yang diguna pakai untuk pencarian dinilai dari segi kredibilitinya menggunakan kaedah ‘Mathematical Model of Viability’ (Model Matematik Keberkesanan) di mana kaedah ini dapat memberi gambaran secara holistik akan keberkesanan penggunaan datanya.

“Penggunaan kaedah ini dapat menjimatkan kos pencarian kerana data yang tidak dipercayai dan tidak jitu, tidak akan digunakan dan pencarian akan dapat dilaksanakan di lokasi tepat,” katanya

Beliau yang juga pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, ketika ini terdapat teknologi terkini yang dinamakan Swarm Technology yang mengguna pakai beberapa kenderaan bawah air yang bergerak secara selari pada julat waktu sama untuk membuat pemetaan dan pencarian nahas udara di lautan.

“Penggunaan Swarm Technology membolehkan pencarian dilakukan secara skala besar dan masa pencarian dioptimumkan.

“..dan beberapa data pencarian di beberapa lokasi dapat dianalisiskan secara serentak dan ini membolehkan visualisasi tapak nahas digambarkan secara tepat,” katanya.

Untuk rekod, beberapa usaha pencarian Ocean Infinity telah berjaya iaitu pada November 2018, kapal Seabed Constructor miliknya berjaya mengesan bangkai kapal selam Argentina, ARA San Juan, yang hilang pada setahun sebelumnya.

Pada Disember 2018, Ocean Infinity diberikan kontrak oleh kerajaan Korea Selatan untuk mencari bangkai kapal pengangkut pukal Stellar Daisy yang tenggelam di Lautan Atlantik pada Mac 2017.

Syarikat itu juga berjaya menemui kapal selam Tentera Laut Perancis, Minerve pada Julai 2019, 50 tahun selepas kehilangannya. – 23 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related