Kes GISBH: Perbicaraan CEO, isteri dan 20 individu lain dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

Turut didakwa bersama CEO GISBH, Nasiruddin Mohd Ali dan isteri Azura Md Yusof ialah anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, iaitu Mohammad Adib At-Tarmimi

12:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perbicaraan melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali, isterinya Azura Md Yusof dan 20 individu lain yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Lailatul Zuraida Harron, membuat keputusan tersebut selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun, bahawa pihak pendakwaan telah memperoleh keizinan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes berkenaan.

“Saya kemukakan keizinan bagi setiap tertuduh. Pihak pendakwaan memohon agar kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” kata Norinna.

Turut didakwa bersama Nasiruddin dan Azura ialah anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, iaitu Mohammad Adib At-Tarmimi.

Tertuduh lain ialah Mohd Shukri Mohd Noor, Muhammad Afdaluddin Latif, Mohamad Sayuti Omar, Mohd Fazil Md Jasin, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, Mokhtar Tajuddin, Muhammad Fajrul Islam Khalid, Abu Ubaidah Ahmad Shukri, Shuhaimi Mohamed, Hasnan Abd Hamid dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri.

Turut dituduh dalam kes ini ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, Nur Jannah Omar, Hamimah Yakub, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, Nurul Jannah Idris, Siti Salmiah Ismail, Siti Hajar Ismail, dan Mahani Kasim.

Sementara itu, peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili pihak pembelaan tidak membantah permohonan itu.

“Namun, untuk rekod mahkamah, Azura dan Nasiruddin telah diletakkan dalam penahanan pengasingan masing-masing di Penjara Sungai Buloh (Nasiruddin) dan Penjara Kajang (Azura), dan pasangan suami isteri ini telah diasingkan lebih dari sebulan sejak mereka berada di sana.

“Kami akan membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan sokongan pihak polis supaya arahan pengasingan tersebut dilucutkan dan mereka dipindahkan ke sel biasa. Mohon perkara ini direkodkan dalam mahkamah,” kata peguam itu.

Seorang lagi peguam, Najib Zakaria berkata pihaknya juga akan membuat permohonan perintah larangan bersuara di Mahkamah Tinggi kerana kes ini sedang diperkatakan secara umum yang bersifat subjudis, yang dikhuatiri akan mengganggu perjalanan kes.

Pada prosiding hari ini, Rosli dan Najib dibantu oleh peguam Muhammad Zaim Rosli, Dorina Abdullah, Bestaman Ahmad, dan M Hafiz Zainal Abidin, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Pada 23 Okt lalu, Nasiruddin bersama isterinya dan 20 pemimpin tertinggi GISBH  didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024.

Mereka yang berumur antara 27 dan 72 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. – 23 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related