KUALA LUMPUR — Kebajikan seorang lelaki warganegara Syria yang terkandas di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberikan Notis Penolakan Masuk (NTL) sejak sebulan lalu, kini diuruskan oleh Qatar Airways.
MAHB mengesahkan Alassad Ahmad Aleoub, 33, yang melarikan diri dari perang saudara di Syria dan tiba di KLIA pada 29 November lalu telah diberikan arahan NTL oleh Jabatan Imigresen.
Pengendali lapangan itu berkata, situasi yang dialami oleh Alassad kini dikendalikan oleh Qatar Airways, iaitu penerbangan yang digunakannya ketika sampai di Malaysia.
“Kami dimaklumkan oleh Qatar Airways bahawa mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk kedutaan (Syria) mengenai perkara ini.
“Dalam pada itu, mereka memastikan kebajikannya dijaga termasuk menyediakan makanan dan sokongan yang diperlukan sepanjang berada di sini,’’ kata MAHB kepada Scoop menerusi emel.
Semalam, Scoop melaporkan kesukaran dialami Alassad selepas dia tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.
Alassad meninggalkan Syria menuju ke Turkiye bersama keluarganya bagi melarikan diri daripada perang saudara.
Namun tekanan yang semakin meningkat terhadap warga asing di Turkiye telah memaksanya meninggalkan negara itu untuk ke Malaysia.
Selepas sebulan berada di negara ini, Alassad yang menggunakan passport palsu Britain untuk ke Eropah telah ditangkap di Qatar dan dihantar balik ke Malaysia.
Alassad bagaimanapun memberitahu dia tidak mempunyai cop keluar pada pasport asalnya iaitu Syria menyebabkan dia tidak boleh memasuki Malaysia atau negara lain. – 28 Disember, 2024