KUALA LUMPUR – Anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata beliau telah dihubungi oleh Istana Pahang pada 4 Januari lalu memaklumkan bahawa Sultan Pahang berkenan untuk mengeluarkan surat berhubung Titah Adendum itu.
Menurutnya, panggilan itu diterima daripada Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
“Pada malam Sabtu 10.40 malam, 4 Januari saya terima panggilan daripada Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
“Beliau memberitahu saya yang Tuanku perkenan dan bertitah untuk keluarkan satu surat dan surat itu secara terang lagi bersuluh bahawasanya Adendum tu wujud,’’ katanya pemberita yang menunggu di pekarangan Istana Kehakiman, di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan mengenai kewujudan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Shafee, yang merupakan peguam Najib, merujuk dokumen berkenaan yang bertarikh 4 Januari lalu, yang dihantar kepada anak sulong Najib, Datuk Mohamad Nizar.
Ia dihantar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Mengulas lanjut, Nizar memberitahu, tiada mana-mana pihak yang boleh menyangkal atau menafikan mengenai kewujudkan surat berhubung Titah Adendum itu yang dikeluarkan daripada Istana Pahang kepada Najib.
Malah, katanya, dokumen itu mengandungi kepala surat daripada Pejabat Istana Sultan Pahang.
“Tiada mana-mana pihak boleh sangkal atau menafikan sebab surat itu ada kepala surat Pejabat Istana Sultan Pahang,’’ katanya.
Nizar memberitahu, surat itu juga kini sudah tular di media sosial justeru tiada apa lagi yang boleh didustakan.
“Ada orang viral, boleh lihat. Sudah terang lagi bersuluh, tiada apa lagi yang ingin didustakan. Mudah-mudahan (berjaya),’’ katanya.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – 6 Januari, 2025