KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan notis rayuan atas talian terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman untuk membolehkan beliau diwakili peguam berhubung prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan Diraja 1950 (Akta 119), secara asas mengkehendaki mana-mana pihak yang menjadi subjek siasatan mesti diwakili peguam.
“Setelah memperoleh pengesahan dari Tun Dr. Mahathir Mohamad, satu Notis Rayuan telah difailkan bagi pihak beliau atas talian.
“Rayuan adalah terhadap Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan & Kuasa-Kuasa Khas) yang telah pada 13 Januari 2025 menolak permohonan Semakan Kehakiman tanpa sebarang kos.
“Anak guam kami percaya rayuan ini adalah amat perlu bagi memperjelas undang-undang serta dijadikan rujukan pada masa depan bagi kemudahan semua pihak.
“Rayuan ini juga perlu untuk mengesahkan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyembunyikan apa-apa mengenai Batu Puteh serta penegasan beliau bahawa pada segala masa material beliau adalah sasaran mainan politik kerajaan hari ini,’’ katanya.
Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan semakan kehakiman Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membolehkan beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan.
Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan itu tanpa sebarang kos, pada prosiding yang dihadiri peguam Zainur Zakaria dan Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Dr Mahathir, serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Nur Hafizza Azizan mewakili responden.
Pada 12 Jun tahun lepas, bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan dalam prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup, dan RCI telah menyahklasifikasikan laporannya yang dikeluarkan pada 5 Disember 2024.
Laporan RCI antaranya berpendapat Dr Mahathir berkemungkinan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkaitan, walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas dan kebarangkalian permohonan tersebut untuk berjaya.
Dr Mahathir memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 5 Jun tahun lepas, menamakan lapan responden termasuk Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif dan mendakwa beliau tidak dibenarkan untuk diwakili peguam pilihannya pada prosiding RCI, selain mendakwa beliau mempunyai hak untuk diwakili peguam pilihan dalam siasatan berkenaan.
Beliau memohon satu perisytiharan bahawa beliau adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI, atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya, justeru beliau memohon perintah mandamus untuk membenarkannya dan peguam hadir sepanjang prosiding RCI.
Menurut Rafique, kehadiran Dr Mahathir sepanjang prosiding RCI adalah penting pada waktu dan ketika itu di bawah Seksyen 18 Akta 119 untuk mempertahankan diri justeru kegagalan mematuhinya mewajarkan rayuan ini difailkan.
“Pesuruhjaya RCI telah menyatakan Tun Dr. Mahathir hanyalah seorang saksi. Namun, seperti yang diketahui umum, RCI Pulau Batu Puteh akhirnya mengesyorkan agar tindakan diambil terhadap Tun Dr. Mahathir,’’ katanya.
Beliau memaklumkan, notis rayuan itu juga diserahkan secara emel kepada responden yang diwakili oleh Jabatan Peguam Negara dan akan disusuli dengan serahan kendiri secepat mungkin. – 21 Januari, 2024