Prestasi cemerlang Anwar tambah kesukaran untuk cari pengganti dalam PKR: penganalisis

Beberapa nama lain terutamanya Menteri Besar Selangor wajar dipertimbang untuk jawatan nombor dua dalam parti

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Prestasi dan kepimpinan cemerlang Datuk Seri Anwar Ibrahim di pentas negara dan antarabangsa menyerlahkan jurang yang semakin ketara untuk mencari penggantinya dalam PKR.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, keadaan ini menjadi cabaran kepada PKR untuk memastikan ‘orang nombor dua’ dalam parti itu juga perlu berkarisma lagi berwibawa untuk meneruskan legasi Anwar.

Beliau berkata, pelan peralihan kuasa yang teratur sememangnya perlu bagi sesebuah parti bagi memberi keyakinan kepada pengundi dan juga rakyat.

Katanya, selain Datuk Seri Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang kerap disebut sebagai pengganti, beberapa nama lain wajar dipertimbangkan terutamanya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selain Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Kecemerlangan Anwar, prestasi dan pencapaian yang luar biasa sekarang ini menyebabkan orang tidak nampak siapa bakal penggantinya dalam PKR.

“Maknanya prestasi Anwar menyebabkan jurang dan lompong dalam kepimpinan, bermakna PKR kena uji semula siapa pengganti Anwar.

“Kalau dulu sebelum Anwar jadi Perdana Menteri, orang nampak Rafizi (calon pengganti presiden), namun tidak lagi sekarang.

“Ini kerana timbul persoalan kalau Rafizi, dia tak boleh mencapai tahap Anwar, perlu cuba orang lain yang boleh diuji dan diketengahkan antaranya Amirudin, ramai melihat Menteri Besar Selangor ini sebagai tokoh masa depan PKR,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau berkata, PKR perlu membuat simulasi semula tokoh pelapis kepada Anwar kerana timbalan sedia ada dilihat tidak berkemampuan untuk ‘catch up’ dengan prestasi Presiden.

“Ertinya sekarang ini PKR semakin terbuka dan ramai lagi pemimpin lain dalam parti yang boleh menawarkan diri mereka bertanding jawatan timbalan presiden sekali gus meneruskan legasi Anwar,” katanya.

Terdahulu, PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan, diadakan pada 24 Mei ini.

Anwar dijangka akan terus memegang jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti yang juga merupakan penggal akhir Anwar sebagai presiden.

Perlembagaan parti hanya membenarkan setiap presiden memegang jawatan selama tiga penggal.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, pertandingan bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR kali ini paling penting.

“Biarpun untuk tempoh tiga tahun akan datang menjadi penggal terakhir Anwar sebagai Presiden PKR, kemungkinan besar bila datangnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang penting orang nombor dua parti akan mempertahankan kedudukan Anwar bukan sahaja sebagai presiden tetapi juga sebagai Perdana Menteri selepas PRU-16.

“Penting jawatan timbalan presiden, kerana besar kemungkinan PH (Pakatan Harapan) atau PKR menempuh PRU-16 dalam tempoh penghujung jawatan Anwar sebagai Presiden.

“Sebab itu penting orang nombor dua, secara logik saya melihat Rafizi tapi kalau lihat politik dalaman PKR, itu bukan mesej yang ada sekarang dalam parti itu.

“Sebab itu dijangkakan Menteri Dalam Negeri akan mencabar sekali lagi jawatan itu,” katanya.

Sementara itu penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, sesiapa pun yang memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemiilihan kali ini belum tentu boleh dilihat calon pengganti yang jelas kepada Anwar.

“Ini kerana Anwar dilihat memenuhi kriteria kepimpinan yang sangat baik ketika ini dalam PKR dari segi hubungan antarabangsa, dengan dunia Arab, Amerika Syarikat atau Asean, Anwar dilihat terbaik.

“Jadi sesiapa pun pengganti beliau atau lebih tepat timbalannya dalam parti perlu bergerak ke arah itu, perlu ada jaringan sedemikian selain rapat dengan akar umbi,” katanya. – 30 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related