KUALA LUMPUR – Produk Coca-Cola di Malaysia tidak terkesan dengan pencemaran klorat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.
Menurut Dzulkefly, maklum balas daripada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM mendapati tiada sebarang bukti dikesan dalam produk berkenaan di Malaysia setakat ini.
Jelasnya, hanya produk Coca-Cola Europe Pacific Partners sahaja dikesan dan ia diedarkan di beberapa negara Eropah seperti Belgium, Luxembourg, United Kingdom dan Belanda.
“Ia bukan fenomena global, mungkin ia berkaitan dengan rantaian bekalan kumpulan atau penghantaran tertentu.
“Kami akan terus memantau tetapi setakat ini kita tidak menerima sebarang bukti ada produk yang terkesan di Malaysia dan negara Asia tiada sebarang amaran,” katanya, dipetik dari Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Terbuka Wellness Hub Seberang Perai Utara di Klinik Kesihatan Sungai Dua, di Pulau Pinang, hari ini.
Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta KKM menguji dan menangguhkan penjualan produk Coca-Cola di Malaysia susulan tindak balas kepada penarikan balik Coca-Cola di Eropah lanjutan daripada penemuan paras klorat yang tinggi.
Menurut CAP, Coca-Cola Malaysia mengeluarkan, memasarkan, dan mengedarkan lebih 80 produk pada masa ini.
Dzulkefly memberitahu, KKM turut akan mengemaskini maklumat terkini kepada umum sekiranya terdapat tindakan susulan diambil berhubung isu berkenaan, dari semasa ke semasa. – 8 Februari, 2025