Menteri Hal Ehwal Bukan Islam harus wakil agama mana? Kristian, Buddha, Taoisme? soal Gerakan

Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan berkata, menumpukan terlalu banyak tenaga dan sumber kepada urusan agama tidak banyak membantu keharmonian dan pembangunan negara

1:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Melantik Menteri Bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam didakwa hanya
boleh memburukkan lagi perpecahan antara agama dan kaum.

Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, Datuk Seri Chandara Balabedha berkata, menumpukan terlalu banyak tenaga dan sumber kepada urusan agama tidak banyak membantu dalam keharmonian dan pembangunan negara.

“Malah boleh memburukkan lagi perpecahan antara agama dan kaum. Menambah jawatan baharu juga bermaksud peningkatan perbelanjaan, yang akhirnya membazirkan wang pembayar cukai.

“Seeloknya Kerajaan Madani melakukan reformasi kepada menteri-menteri sedia ada yang tidak berguna untuk rakyat dan negara daripada membuat penambahan jawatan menteri” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan, jika benar-benar perlu mewujudkan jawatan “Menteri Hal Ehwal Bukan Islam”, menteri tersebut harus mewakili agama yang mana? Kristian, Buddha, Taoisme?

“Pendekatan seperti ini mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah dengan berkesan, malah berpotensi mencetuskan lebih banyak pertikaian dan kesan negatif tambahan,” katanya.

Sementara itu Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz menegaskan cadangan melantik seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan tidak wajar kerana tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, dokumen sejarah Perlembagaan tidak pernah membincangkan mengenai pelantikan menteri untuk agama bukan Islam, berbanding kedudukan Islam yang jelas dinyatakan dalam Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan penubuhan institusi Islam.

“Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan (Perkara 3), tetapi ia juga menjamin kebebasan beragama untuk semua (Perkara 11), namun tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam.

“Tiada peruntukan yang menyatakan agama dalam Senarai Persekutuan untuk dijadikan asas kepada pelantikan Menteri yang dimaksudkan.

“Oleh itu, agama berada dalam kuasa negeri kerana perkara baki (risidual iaitu perkara yang tidak dinyata dalam Senarai Perundangan) adalah di bawah kuasa negeri,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.

Yu Hui (PH-Raub) ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam. – 13 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Ringgit eases against dollar as Fed official’s comments dampen rate cut hopes

Local note at 4.6910/6950 versus greenback at 9am

Ahmad Samsuri kekal sebagai MB Terengganu

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering, dekat sini hari ini

Operasi beras putih tempatan dilaksana

“Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat, mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” katanya.

Related