KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang disyaki terbabit dalam kes cubaan mencabul seorang kanak-kanak di dalam sebuah masjid di Batang Kali, Selangor, semalam, telah direman selama seminggu bermula hari ini.
Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, tempoh tahanan reman terhadap lelaki tempatan berumur 19 tahun itu diperoleh di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit tidak mengenali mangsa,” katanya, lapor Bernama.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mengenai dakwaan remaja berkenaan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU), Hussein memaklumkan pihaknya belum mendapat pengesahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berkaitan dakwaan lelaki tersebut memiliki kad OKU.
Semalam, tular klip video yang merakamkan lelaki berkenaan cuba mencabul mangsa sebelum melarikan diri selepas mangsa melawan.
Suspek dirakamkan menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak dari arah belakang ketika dia sedang bersujud dan melarikan mangsa tanpa disedari jemaah lain.
Susulan kejadian itu, lelaki terbabit ditahan di kediamannya yang terletak kira-kira satu kilometer dari masjid terbabit pada 10 pagi semalam.
Dalam pada itu, orang ramai meminta tindakan tegas diambil ke atas remaja berkenaan di atas perbuatannya yang bukan sahaja dilakukan di dalam masjid malah bakal menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami trauma. – 22 Februari, 2025