KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 akaun TikTok organisasi media tempatan yang disekat baru-baru ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang berhubung dengan pihak TikTok bagi mendapatkan penjelasan mengenai tindakan itu.
Katanya, setakat ini menerusi makluman awal tindakan itu berkemungkinan besar
berkait dengan video yang dimuat naik berkaitan kejadian cabul kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali baru-baru ini.
“Pihak media telah membuat penjelasan wajah kanak-kanak tersebut tidak disiarkan selaras dengan etika media.
“Bagi pihak media mereka merasakan tidak ada (melakukan) apa-apa kesalahan, mereka tak tunjuk wajah kanak-kanak perempuan tersebut tapi video secara automatik disekat melibatkan 23 akaun media kemungkinan juga ia disebabkan kecerdasan buatan (AI) yang digunakan.
“Jadi, ini bermaksud AI adakalanya ia membantu ada kalanya dia membantut.
“Jadi, bagi saya perlu ada intervensi dan di sini hasrat kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi untuk pastikan platform ini (TikTok) memahami kod etika yang dipegang oleh media di Malaysia dan kita minta mereka lakukan penyesuaian nanti,” katanya pada sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, MCMC sedang membuat survey (tinjauan) terhadap platform media sosial X susulan ia dikatakan tidak mempunyai jumlah pengguna lebih daripada paras yang ditetapkan.
Beliau berkata, oleh kerana itu, pelesenan media sosial tersebut masih lagi dikaji.
“Sama ada platform berkenaan mempunyai lesen ataupun tidak, kesemua pengendali (platform) perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Bagi platform media sosial X yang sebelum ini menyatakan mereka tidak ada pengguna lebih dari paras ditetapkan iaitu lapan juta pengguna di Malaysia, maka MCMC sedang melakukan pengesahan melalui pelaksanaan survey.
“Di situ kita akan teliti dan mengambil tindakan setelah selesai survey tersebut.
“MCMC juga sentiasa berhubung dengan mereka (platform media sosial) untuk mengambil sebarang tindakan,” katanya
Fahmi berkata, hasil kerjasama itu turut menunjukkan kesan positif apabila pengendali platform Youtube telah menurunkan 97 peratus iklan judi dalam talian yang mampu menjejaskan pengguna. – 24 Februari, 2025