Kerajaan tak zalim, tetap bagi peruntukan kepada penduduk kawasan pembangkang

Ahli Parlimen pembangkang tidak sewajarnya memainkan isu tersebut memandangkan mereka sendiri enggan berbincang dengan kerajaan

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang didakwa sengaja menggunakan isu tidak diberikan peruntukan seolah ingin menggambarkan kerajaan bersikap zalim, sedangkan peruntukan untuk penduduk di kawasan mereka telah disalur terus kepada wakil yang dilantik kerajaan.

Penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Datuk Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berpendapat Ahli Parlimen pembangkang tidak sewajarnya memainkan isu tersebut memandangkan mereka sendiri enggan mengadakan perbincangan bersama pihak kerajaan.

“Kerajaan telah membuka ruang (untuk perbincangan) tetapi pembangkang terus berdolak dalik, menolak untuk menerima peruntukan tersebut jadi mereka kena ingat juga bahawa ketika zaman Muhyiddin Yassin mereka tidak dapat pun peruntukan cuma zaman Ismail Sabri dapat peruntukan.

“Jadi mereka tidak boleh menyalahkan kerajaan dalam perkara ini sebab mereka gagal berbincang dengan baik untuk memastikan peruntukan itu dapat diterima seluruh ahli parlimen.

“Saya kira pembangkang juga ada motif iaitu mereka gunakan isu tersebut untuk mendakwa seolah-olah kerajaan ini zalim sedangkan peruntukan di kawasan pembangkang itu disalur terus kepada wakil kerajaan di kawasan tersebut, tidak melalui Ahli Parlimen pembangkang,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Datuk Awang Azman Awang Pawi. – Gambar media sosial, 28 Februari, 2025

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mendedahkan tiada sebarang perkembangan terkini berhubung isu peruntukan kerajaan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Hamzah berkata, apa yang dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, baru-baru ini, hanya membabitkan Ahli Parlimen kerajaan, yang menerima peruntukan khas Perdana Menteri berjumlah RM1.7 juta bagi kawasan Parlimen di Semenanjung serta RM2.2 juta bagi Sabah dan Sarawak.

Pada 22 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan tidak pernah ada sebarang syarat yang menetapkan Ahli Parlimen daripada pihak pembangkang perlu menyokong beliau bagi mendapatkan peruntukan.

Anwar turut mengulangi nasihatnya kepada Ahli Parlimen pembangkang supaya berbincang bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung peruntukan itu.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata tidak timbul isu kerajaan menganaktirikan penduduk di kawasan pembangkang kerana ada saluran yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk menyalurkan peruntukan berkenaan. – Gambar fail Bernama, 28 Februari, 2025

Dalam pada itu, geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata penduduk di kawasan Ahli Parlimen pembangkang tidak dipinggirkan kerajaan, sebaliknya peruntukan tetap diberikan terutama melibatkan aspek kebajikan rakyat itu sendiri.

“Penduduk di kawasan Ahli Parlimen pembangkang tidak terpinggir 100% kerana setiap kawasan pembangkang, ada wakil daripada kerajaan.

“Ini kerana kerajaan mahu memastikan wang yang diperuntukkan itu digunakan (disampaikan) kepada penduduk… bukan digunakan untuk tujuan politik kepartian.

“Jadi dalam hal ini tidak timbul isu kerajaan menganaktirikan penduduk kawasan pembangkang kerana ada landasan-landasan yang boleh kerajaan gunakan untuk salur peruntukan,” katanya. – 28 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Related