KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Mahkamah bagaimanapun mengekalkan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi terhadap mereka iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, yang semuanya kini berusia 29 tahun.
Keputusan dibuat oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang sebulat suara membenarkan rayuan akhir keenam-enamnya terhadap sabitan dan hukuman mati kerana membunuh Zulfarhan, lapan tahun lalu.
Dua yang lain ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Panel itu berpendapat sabitan sabitan bagi kesalahan membunuh yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, tidak dapat dipertahankan, lapor Malaysia Gazette.
Pada 23 Julai 2024, Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap keenam-enam bekas pelajar universiti berkenaan kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.
Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut itu kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.
Hukuman penjara 18 tahun mengikut Seksyen 304(a) diberi oleh Hakim Datuk Azman Abdullah selepas melihat kepada pertimbangan pelbagai aspek termasuk semua pihak terjejas terutama kesan dialami keluarga mangsa.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – 28 Februari, 2025