SHAH ALAM – Wanita warga jepun yang ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, Jumaat lalu merupakan isteri kepada usahawan dan pempengaruh yang dikenali sebagai Ridzokumura.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, siasatan kes itu setakat ini masih lagi diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Polis sudah memanggil suami mangsa untuk proses keterangan.
“Bila kita siasat bawah mati mengejut, kita akan lihat semua perkara. Kita akan tetap lihat sebarang unsur jenayah sama ada tindakan mangsa atau sebagainya.
“Kalau ada kesan unsur jenayah baru kita klasifikasikan semula bawah kesalahan jenayah. Apabila siasat bawah mati megejut tidak bermakna kita ketepikan unsur jenayah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, kematian isteri kepada pempengaruh itu juga telah dimaklumkan kepada pihak kedutaan Jepun serta keluarga mangsa di sana.
“Pihak polis juga menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan,” katanya.
Jumaat lalu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mangsa berusia 50-an ditemui meninggal dunia dalam keadaan meniarap di atas tanah oleh anggota polis peronda yang ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan MERS 999.
Beliau berkata, pemeriksaan awal pada tubuh mangsa dan tempat kejadian mendapati tiada sebarang kecederaan daripada perlakuan jenayah.
Isteri kepada pempengaruh dan usahawan atau nama sebenarnya, Abd Ridzuan Abdul Mutalib dikatakan telah menetap di Malaysia selama 14 tahun.
Kematian Akiko turut mendapat pelbagai reaksi netizen di media sosial khususnya hantaran yang dimuat naik suaminya. – 4 Mac, 2025