KUALA LUMPUR – Sokongan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Datuk Seri Rafizi Ramli diberi laluan mudah mengekalkan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu disifatkan bagi mengelak berlaku pertembungan dan kewujudan kem tertentu.
Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, seruan itu juga dilihat satu langkah diplomasi untuk memperkukuh perpaduan dalam parti itu.
“Ia pendekatan diplomasi diambil Anwar untuk memperkukuh perpaduan dalam parti dan mengelakkan pertembungan.
“Ini kerana sebelum ini ada dakwaan wujudnya kem Anwar dan kem Rafizi yang pernah mewarnai pemilihan PKR sebelum ini.
“Namun apabila wujudnya Kerajaan Perpaduan, kita melihat keserasian itu dan sebab itu, penting untuk Anwar menjaga hubungan dan beri sokongan kepada Rafizi,” katanya hari ini.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, isu berhubung pemilihan parti adalah kuasa mutlak kepada kepimpinan tertinggi.
Beliau juga percaya sokongan yang diberikan terhadap Rafizi sebagai strategi dalam memastikan PKR kekal harmoni dan mendominasi.
Beliau berkata, sebarang elemen yang boleh membawa parti kepada perubahan lebih baik, akan diambil kira.
“Dalam konteks ini, keputusan-keputusan tertentu akan berkaitan dengan strategi parti politik ia harus difahami sebagai salah satu kuasa mutlak atau kepentingan mana-mana parti dalam negara termasuk PKR.
“Ini demi mengatur strategi untuk mengekalkan sokongan masyarakat termasuk memperlihatkan strategi untuk menghadapi PRU (pilihan raya umum).
“Paling utama adalah memastikan PKR terus mendominasi dan kekal relevan melalui sokongan dan tata kelola strategi parti-parti berkepentingan dalam negara, mahupun untuk berkepentingan rakyat,” katanya.
Sementara itu Pensyarah Kanan (Komunikasi Liberal) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Dr A Aziz Azizam pula berkata, dengan ketiadaan pertandingan, ia sekali gus akan mengurangkan persaingan dan perpecahan dalaman.
“Ini kerana dalam pemilihan jawatan tertinggi sebegini, biasanya ia akan membentuk kelompok kecil, yang mempunyai aspirasi berbeza dalam parti, tetapi memberi implikasi tidak baik dalam parti.
“Jika itu berlaku, ia akan melemahkan PKR kerana parti itu perlu membuktikan kestabilan
kepada masyarakat kerana pada masa ini PKR hampir kepada penggal pertengahan menjadi kerajaan.
“Maka, pilihan terbaik adalah memberi jalan atau tidak dicabar yang akan dapat mengu-rangkan ketegangan dalaman,” katanya.
A Aziz bagaimanapun berkata, laluan mudah ataupun ketiadaan pertandingan juga boleh menimbulkan beberapa persepsi negatif, antaranya kemungkinan berdepan dengan defisit calon yang berwibawa serta bersedia untuk mencabar penyandang.
“Ia secara tidak langsung mencerminkan kemerosotan dalam melahirkan barisan pelapis, sekali gus juga menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan parti dalam jangka panjang.
“Pemimpin lebih tinggi perlu bersifat neutral kerana ia boleh memberi isyarat kepada masyarakat yang mungkin menganggap ketiadaan cabaran bukan kerana sokongan tulen, sebaliknya kesan yang boleh dikenakan kepada pencabar.
“Harus diingat budaya autoritarian dalaman berpotensi melemahkan keyakinan awam,” katanya.
Baru-baru ini, Anwar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Selangor dilapor menyatakan sokongan terhadap Rafizi dengan menyatakan Ahli Parlimen Pandan itu harus diberi ruang untuk menjalankan tugas serta tanggungjawabnya.
Beliau telah mengamanahkan Rafizi yang juga Menteri Ekonomi, menjadi timbaannya, dan Rafizi harus diberi ruang untuk menjalankan tugas serta tanggungjawabnya.
PKR akan mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei depan. – 4 Mac, 2025