KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat, Rajagopal Ramadass memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini siasatan yang dijalankannya mendedahkan empat individu yang bertanggungjawab dalam dakwaan salah urus USD$1.367 bilion daripada 1MDB.
Rajagopal, saksi ke-13 dan bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Bukit Aman berkata mereka ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Azmi Tahir; bekas Peguam Kanan Jasmine Loo dan Terrence Geh yang kini menjadi buruan.
Shahrol Azral, Azmi dan Jasmine telah memberikan keterangan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi pasukan pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut kenyataan firma peguam Tetuan Shafee & Co, Rajagopal ditugas menyiasat dakwaan penyelewengan dalam 1MDB susulan laporan yang dibuat oleh bekas ahli politik Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada 12 Disember 2014.
Beliau berkata, pemindahan awal sebanyak USD$ 700 juta kepada Good Star Limited, sebuah syarikat yang dimiliki secara benefisial oleh Low Taek Jho, telah dilakukan oleh Casey Tang atas arahan CEO 1MDB, Shahrol Azral.
Rajagopal turut menyatakan beliau mendapati sesuatu yang pelik apabila Shahrol hanya melihat “Perjanjian Pinjaman” dengan PetroSaudi International Limited buat pertama kali apabila ia ditunjukkan oleh polis semasa rakaman keterangan.
Perjanjian pinjaman itu didakwa digunakan untuk mengesahkan pemindahan USD$ 700 juta daripada pelaburan 1MDB ke entiti lain yang tidak didedahkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB. Rajagopal akan menyambung keterangan pada Selasa depan.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Lok Kamaruddin mengekalkan keterangannya sepanjang prosiding bahawa tiada pendekatan “top-down” yang diamalkan di 1MDB, bertentangan dengan keterangan saksi-saksi pendakwaan terutama Shahrol Azral.
Menurut Che Lodin, beliau tidak pernah menjadi proksi kepada Najib malah tidak mempunyai nombor telefon bekas Perdana Menteri itu.
Beliau turut menyatakan pelantikannya ke jawatan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings bukan dibuat oleh Najib sebaliknya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Che Lodin turut menolak tanggapan kelulusan Najib sentiasa mendahului keputusan Lembaga Pengarah.
Seperti mana-mana syarikat lain, Che Lodin memberitahu, Lembaga Pengarah perlu mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi sebarang tindakan dan ini merupakan keperluan di bawah Akta Syarikat.
Che Lodin turut menafikan teori bahawa Najib yang mahu menamatkan perkhidmatan KPMG sebagai juruaudit 1MDB.
Sedangkan, kata beliau, isu antara KPMG dan syarikat telah dibincangkan untuk tempoh yang lama sebelum perkhidmatan mereka ditamatkan melalui persetujuan bersama.
Menurut Che Lodin, Najib telah mengadakan pertemuan dengan wakil KPMG bagi menyelesaikan kebuntuan tersebut, namun tidak berjaya.
Beliau menambah isu berkaitan penilaian anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited oleh KPMG akhirnya dapat diselesaikan dengan mudah oleh penggantinya, iaitu firma audit terkemuka lain, Messrs Deloitte Kassim Chan.
Menurutnya, setiap firma audit mempunyai kaedah penilaian yang berbeza dan dalam kes KPMG, mereka tetap berpegang pada pendekatan penilaian walaupun syarikat menghadapi kesukaran dalam menyediakan dokumen yang diminta.
Mengenai peranan Najib dalam 1MDB, Che Lodin berkata tiada kekeliruan dalam kalangan pengurusan syarikat mengenai tiga peranan beliau iaitu sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat (CBOA), Perdana Menteri dan wakil pemegang saham (Menteri Kewangan Diperbadankan, MOF Inc.).
Lembaga Pengarah 1MDB, katanya sentiasa mematuhi prosedur tadbir urus korporat selaras dengan Akta Syarikat, khususnya di bawah Seksyen 132C dan Seksyen 147(6), yang mewajibkan kelulusan pemegang saham bagi pemerolehan dan pelupusan aset yang besar.
Jelas beliau, minit mesyuarat lembaga dan resolusi pemegang saham mengesahkan apabila kelulusan diperlukan, Najib menandatanganinya atas kapasiti sebagai wakil MOF Inc. dan pemegang saham 1MDB, bukan sebagai Perdana Menteri atau Pengerusi Lembaga Penasihat di bawah Artikel 117 atau Artikel 93 dalam Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A).
Tegasnya, hujah pihak pendakwaan bahawa kelulusan tertentu oleh Najib adalah berdasarkan Artikel 117 bercanggah dengan pematuhan ketat Lembaga terhadap keperluan undang-undang.
Che Lodin mengesahkan Artikel 117 tidak pernah digunakan kerana tiada elemen dalam artikel tersebut yang dianggap terpakai oleh Lembaga.
Ini, katanya, mengukuhkan lagi semua keputusan utama dibuat dalam rangka kerja perundangan Akta Syarikat tanpa bergantung kepada Artikel 117 M&A atau kedudukan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat. – 5 Mac, 2025