KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menyifatkan cadangan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) untuk menggantung stesen radio ERA FM sebagai terlalu keras dan tidak adil kerana kesalahan itu berkait dengan tiga penyampai radionya, bukan keseluruhan kakitangan stesen itu.
Beliau berkata, stesen radio itu juga sudah membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.
Apa yang dibimbangi, kata beliau, penggantungan itu akan menjejaskan ramai pekerja dan tidak adil bagi kakitangan lain untuk menanggung akibat daripada kesalahan yang dilakukan oleh tiga individu sahaja, apatah lagi dalam bulan suci Ramadan ini.
“Ramai pekerja yang tidak bersalah dan dari pelbagai kaum bekerja di sana dan kehidupan mereka tidak seharusnya terjejas akibat tindakan segelintir individu.
“Memandangkan kita berada dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan, marilah kita mengamalkan perpaduan, kemaafan, dan keadilan dalam menangani isu ini,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, MCMC mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio, pengendali stesen radio Era FM, susulan penyebaran video tular memaparkan penyampainya mempersenda upacara agama Hindu.
MCMC berkata, pemegang lesen diberi tempoh selama 30 hari untuk memberikan maklum balas terhadap notis tersebut sebelum pihaknya membuat sebarang keputusan.
Dalam pada itu, Saravanan menegaskan kerajaan perlu bertindak terhadap individu yang mencemarkan agama di media sosial tanpa mengira siapa pun kerana trend ini boleh mengancam keamanan dan keharmonian negara.
Polis dan MCMC, ujar Saravanan perlu mengambil tindakan terhadap golongan ekstremis agama ini dan menjadikannya sebagai pengajaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak bermain dengan isu agama kerana ia ibarat bermain dengan api.
“Individu seperti Zamri Vinoth mempunyai rekod panjang dalam mengeluarkan kenyataan provokatif yang menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia dan berulang kali menyebarkan naratif berbahaya yang mencetuskan ketegangan antara komuniti.
“Pada masa yang sama, tindakan juga perlu diambil terhadap individu seperti Vijayan Savarinathan yang telah menghina dan mengkritik Islam. Seperti mana kita mengecam mereka yang memperlekehkan Hindu, kita juga harus tegas terhadap mereka yang tidak menghormati mana-mana agama lain,’’ katanya.
Beliau turut memberitahu, dalam negara majmuk seperti malaysia, keharmonian kaum dan agama mesti dipertahankan dengan apa jua cara sekalipun.
“Apa yang kita perlukan ialah ketegasan dan konsistensi dalam tindakan serta tidak boleh ada penguatkuasaan yang selektif dalam isu berkaitan sensitiviti kaum dan agama.
“Kerajaan mesti melaksanakan undang-undang secara adil dan tegas terhadap sesiapa sahaja yang mengancam keamanan dan keharmonian negara kita. Ini bukan soal kaum atau agama, tetapi soal memastikan rasa hormat yang berterusan antara rakyat Malaysia,’’ ujarnya. – 6 Mac, 2025