SHAH ALAM – DAP menegaskan akan kekal menjadi rakan sejati yang menyumbang kepada kestabilan dan kekuatan Kerajaan Madani hari ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, DAP akan tetap kukuh mempertahankan dan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dalam tempoh 28 bulan Anwar menjadi Perdana Menteri, Malaysia kembali ada kestabilan politik, kerajaan makin kukuh stabil, DAP menyumbang kepada kestabilan dan kekuatan kerajaan Madani hari ini.
“Kita peluk Anwar sekuat mungkin, DAP akan tetap kukuh mempertahankan dan menyokong Anwar.
“Kita adalah rakan sejati ,tak akan tikam dari belakang, pastikan langkah hitam ‘Langkah Sheraton’ tak akan berulang lagi, ini janji DAP.
“Walaupun ada pelbagai isu tapi pastikan kesetiaan dan perpaduan mesti kita kukuhkan.
Kalau kerajaan ini berjaya, Anwar berjaya maksudnya Malaysia berjaya,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18, hari ini.
Hadir sama Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah Loke yang juga Menteri Pengangkutan, semua pihak perlu mengakui sokongan kepada kerajaan belum cukup kuat dan sentimen belum cukup kukuh yang boleh membawa kepada keyakinan yang besar.
“Kita mesti terus berusaha bekerja, pastikan ada reformasi dalam sistem pengurusan kerajaan.
“DAP juga komited untuk terus menyokong Anwar memegang jawatan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16. Tidak ada calon kedua untuk jadi PM selain Anwar,” katanya.
Beliau berkata, DAP tidak pernah takut untuk bersuara, namun memainkan peranan dengan penuh bertanggungjawab.
“Pemimpin DAP bukan sahaja pemimpin politik tetapi juga sebagai pemimpin dan pembina negara. DAP tidak akan gadai prinsip demi jawatan.
“Kita juga bukan tidak berani bersuara tapi bersuara dengan sopan dan cerdik,” katanya.
Selain itu Loke berkata, bagi melaksana reformasi parti, dicadangkan satu mekanisma penilaian calon yang lebih sistematik dan telus dibina.
“Selain itu menginstitusikan Jawatankuasa Pemilihan Calon dalam Perlembagaan Parti. Pindaan tersebut akan dibentang dalam Konvensyen Kebangsaan akan datang pada 2026.
“Selain itu mewujudkan secara rasmi beberapa jawatan baru dalam struktur CEC dan akan dimasukkan dalam perlembagaan parti antaranya, Ketua Parlimen DAP (Mesti dilantik dari kalangan bukan Anggota Pentadbiran), Pengarah Strategik, Pengarah Dasar dan Pengarah Pilihanraya,” katanya.
Tambah Loke, bagi memperkasa kedudukan wanita dalam DAP, Ketua Wanita DAP akan dilantik sebagai anggota tetap dalam Jawatankuasa Pemilihan Calon.
“Selain itu 30% calon Wanita di peringkat kerusi Parlimen wajib dilaksanakan bermula PRU-16,” katanya.
Katanya, DAP juga akan melonggarkan dasar penerimaan anugerah di kalangan wakil rakyat DAP
“Saya bukan mintak datukship, tak minta apa-apa, kekal sebagai encik. Tapi kalau ada mana-mana wakil rakyat dicadang Sultan, wajar dipertimbang CEC, akan bincang dasar lebih longgar ini.
“Tapi kita ada syarat jangan baru masuk DAP 3 bulan dan minta macam-macam anugerah,” katanya.
Sementara itu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu kekal menjadi rakan yang setia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH), namun hanya akan tunduk atau bersikap ‘yes man’ kepada pengundi dan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan perlu menyegerakan reformasi institusi dan ekonomi disegerakan pada tahun ini untuk membalas budi pengundi-pengundi yang mempercayai PH.
“DAP rasa bangga kita boleh bantu Anwar menjadi Perdana Menteri dan kita akan terus memberi sokongan sedemikian.
“Bagaimanapun, biar saya tekankan, DAP bukan parti yes man, kami cuma yes man kepada pengundi dan rakyat Malaysia. Kita ingin memuji reformasi institusi dan politik yang dilaksanakan oleh Anwar dan Kerajaan Perpaduan tahun ini.
“Kita harap bahawa reformasi ekonomi boleh diambil kira dan juga disegerakan tahun ini supaya kita dapat membalas budi kepada pengundi-pengundi yang mempercayai PH akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya
Terdahulu seramai 4,203 kehadiran perwakilan dilaporkan dan akan menentukan kepemimpinan baharu parti pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) hari ini bagi sesi 2025 – 2028. – 16 Mac, 2025