KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menolak khabar angin kerajaan bercadang untuk menghapuskan Program Homestay.
Sambil menyifatkan khabar angin tersebut sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab, beliau berkata ia sama sekali tidak mencerminkan dasar kerajaan.
“Homestay adalah sebahagian penting daripada ekosistem pelancongan negara dan saya akan terus berusaha untuk menjadikannya sebagai ikon pelancongan Malaysia.
“Tidak seperti sesetengah bentuk pelaburan lain yang memerlukan tempoh panjang untuk memberikan hasil, pelaburan dalam sektor pelancongan memberikan kesan serta-merta kepada ekonomi negara.
“Perkembangan pesat industri ini juga mewujudkan permintaan dalam pelbagai sektor seperti pengangkutan, makanan, dan perkhidmatan, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat di semua peringkat,’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Perkara berkenaan disuarakan beliau menerusi Sidang Kemuncak Menteri Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) yang berlangsung sempena Pameran Pelancongan Antarabangsa Berlin (ITB Berlin) 2025.
Program Homestay adalah pengalaman di mana pelancong tinggal bersama keluarga yang dipilih, berinteraksi dan menimba pengalaman kehidupan seharian keluarga homestay dan juga mempelajari budaya masyarakat luar bandar di Malaysia.
Ia tidak digolongkan sebagai kemudahan penginapan dan lebih memfokuskan kepada gaya hidup dan pengalaman, termasuk budaya dan kegiatan ekonomi.
Menurut King Sing, Program Homestay mempunyai potensi luar biasa dan bukan hanya menjadi alternatif kepada hotel sebaliknya membolehkan pelancong merasai serta memahami budaya tempatan dengan lebih dekat.
Kementeriannya juga, kata Tiong Sing akan mempercepatkan penggubalan garis panduan berhubung proses permohonan lesen dan operasi homestay termasuk mewajibkan pengusahanya mendapatkan insurans hartanah.
‘Kementerian juga akan mempercepatkan penggubalan garis panduan serta peraturan berkaitan proses permohonan lesen dan pengoperasian homestay.
“Ini termasuk mewajibkan pengusaha homestay untuk mendapatkan insurans hartanah bagi melindungi kepentingan kedua-dua pihak, iaitu pemilik dan tetamu,’’ katanya. – 17 Mac, 2025