KUALA LUMPUR – Pemuda berusia 21 tahun yang menjadi tumpuan berikutan dakwaan kes serangan di bulan Ramadan menggesa orang ramai supaya bertenang dan tidak mempolitikkan kejadian itu.
Dalam muat naik video TikTok yang mendapat lebih 341,000 tontonan dan 12,000 perkongsian, Elijah Ling Zhao Zhong mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan mereka tetapi menekankan keperluan untuk membiarkan pihak berkuasa mengendalikan perkara itu.
“Biarlah polis menjalankan tugas mereka. Saya juga menasihatkan semua orang supaya tidak mengaitkan kes ini dengan politik kerana ia tiada kaitan dengan politik. Ini adalah perbuatan jenayah yang dilakukan terhadap saya,” katanya.
Elijah menegaskan rakyat Malaysia perlu melihat insiden ini sebagai pengajaran untuk membina sebuah negara yang harmoni dan bersatu padu, tanpa mengira kaum atau agama.
“Saya harap negara kita kekal aman dan keharmonian itu akan terus wujud,” tambahnya.
Tertuduh menarik balik pengakuan bersalah, mohon dibicarakan
Kes yang berlangsung di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu berdepan keadaan luar jangka apabila tertuduh, pesara penjawat awam Abdul Razak Ismail, 65, yang pada mulanya mengaku bersalah menyebabkan kecederaan secara sukarela mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan menukar pengakuan.
Tertuduh yang mempertikaikan pertuduhan itu, berkata, “Saya menamparnya, tetapi tidak cukup keras untuk meninggalkan lebam.” Ini menyebabkan Majistret A Shaarmini menolak pengakuan bersalah, memutuskan bahawa pengakuan bersyarat tidak boleh diterima.
Sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan, pihak pendakwaan meminta pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA), dengan menyatakan bahawa kertas siasatan perlu disemak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC). Mahkamah membenarkan permintaan itu, sekali gus mencetuskan perdebatan awam.
Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah yang menggesa AGC menjelaskan DNAA, berkata, “Apakah yang menyebabkan DNAA diberikan? Adakah pertuduhan itu rosak? Bilakah tertuduh akan didakwa semula? Perkembangan ini tidak meyakinan orang ramai.”
Susulan itu, AGC menjelaskan bahawa pertuduhan awal mengandungi isu teknikal, yang telah diperbetulkan. Ia mengesahkan bahawa Abdul Razak akan menghadapi pertuduhan baharu.
Pada petang Rabu, tertuduh didakwa sekali lagi dan mengaku tidak bersalah. Mahkamah menetapkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin, selepas peguamnya berhujah bahawa wang jaminan RM8,000 yang diminta oleh pihak pendakwa adalah keterlaluan untuk seorang pesara yang menanggung tiga anak.
Kes itu mendapat perhatian meluas selepas video kejadian menjadi tular. Elijah mendakwa di media sosial bahawa seorang lelaki warga emas bersemuka dengannya di Pusat Beli Belah Angsana, Johor Bahru, menuntut untuk melihat kad pengenalannya sebelum menamparnya beberapa kali.
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang mengecamnya sebagai “tindakan provokatif” terhadap keharmonian pelbagai budaya Malaysia, manakala Menteri Hal Ehwal Agama Na’im Mokhtar menegaskan bahawa tindakan sedemikian “tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.”
Insiden itu juga telah mendorong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengingatkan umat Islam bahawa tindakan sedemikian menjadikan kecantikan Islam sesuatu yang sia-sia.
Anwar juga menggesa tindakan sedemikian dihentikan kerana ia bertentangan dengan semangat perpaduan dan keharmonian negara.
Mahkamah menetapkan 29 April depan untuk sebutan kes seterusnya. Jika sabit kesalahan, Abdul Razak boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Semalam, Aaron berkata bahawa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menawarkan sokongan kepada mangsa, sambil menambah bahawa pengarah jabatan itu telah bertemu dengan Elijah dan dimaklumkan bahawa dia memerlukan privasi.
Beliau juga menggesa semua rakyat Malaysia supaya mengutamakan dan menghormati antara satu sama lain dalam kehidupan seharian mereka. – 20 Mac 2025