KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan masih berharap supaya Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman kekal ditapak sedia ada di Jalan Masjid India di sini, walaupun tanah terbabit sudah menjadi hak milik syarikat swasta.
Wakil pengurusan kuil, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu kuil yang sudah wujud di atas tapak tersebut lebih daripada 130 tahun terus kekal.
Katanya, malah urusan penjualan tanah yang berlaku pada 2014 juga tidak dimaklumkan kepada mereka.
“Apabila tapak itu dijual, pengurusan kuil langsung tidak dimaklumkan, sedangkan mereka juga mempunyai ‘equitable interest of land’.
“Jadi kami menggesa DBKL dan pemilik tanah untuk mengambil kira hak ini. Anda tidak boleh sewenang-wenangnya mengabaikan kepentingan kuil ini.
“Ada sesuatu yang unik tentang Masjid India, anda mempunyai populasi masyarakat India yang besar, sama ada Muslim atau Hindu.
“Selama bertahun-tahun mereka hidup aman damai, mengapa kerajaan kini mahu masuk campur?” soalnya pada sidang media di sini hari ini.
Ambiga berkata, beliau dan pihak pengurusan tidak bersetuju untuk proses pemindahan kuil ke tapak yang baharu.
Ditanya sekiranya pihak pengurusan mempunyai niat untuk membawa perkara itu ke mahkamah, katanya, mereka berharap agar ia tidak sampai ke tahap tersebut, biarpun ada dahuluan kes (precedent) yang sama, yang memberi kelebihan terhadap kuil.
“Saya rasa kerajaan perlu lebih berhati-hati kerana implikasi terhadap sebarang tindakan adalah amat penting kepada negara.
“Kita perlu lihat terhadap komuniti itu sendiri, anda tidak boleh sewenang-wenangnya mengusir pihak ini keluar.
“Kami tidak mahu ke tahap tersebut (mahkamah) biarpun ada dahuluan kes sebelum ini. Kita perlu menyelesaikannya dengan mengambil kira pendekatan komuniti. Jalan penyelesaian juga sudah ada,” katanya.
Mengulas mengenai jalan penyelesaian yang wajar, wakil pengurusan kuil Raj Mohan berkata, terdapat tapak kosong di sebelah kuil yang boleh didirikan masjid berkenaan.
“Dengan semangat masyarakat majmuk di negara ini, penganut agama Islam dan Hindu sudah pasti tidak mempunyai sebarang masalah jika rumah ibadat terletak bersebelahan,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili pengurusan kuil, N Surendran berkata, pihak DBKL tidak boleh bertindak sebagai pihak luar, kerana penjualan tanah tersebut dilakukan mereka sendiri.
“Dalam erti kata lain, tanah ini menjadi tanah swasta kerana tindakan kerajaan dan pengurusan DBKL terdahulu.
“Ini bukan semata-mata pembinaan kuil di atas tanah seseorang. Saya rasa surat DBKL (kepada pengurusan kuil) memberi persepsi yang salah.
“Tujuan saya menerangkan perkara ini adalah demi memastikan kita tidak terbuai dengan naratif kononnya ini adalah tanah swasta. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk perbetulkan perkara ini,” katanya.
Terdahulu, DBKL memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, kuil ini boleh beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai.
Malah pengurusan syarikat pembekal tekstil Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) turut menegaskan, tiada perobohan akan dilakukan terhadap Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel, Aiman Dazuki berkata, perbincangan selama lebih 10 tahun dengan pihak berkaitan tertumpu kepada proses pemindahan secara harmoni.
Untuk makluman, terdapat cadangan untuk membina masjid oleh pemilik tanah tersebut dan jalan penyelesaian terbaik antara pihak berkaitan sedang berjalan ketika ini. – 20 Mac, 2025