Pindah pengundi: potensi peningkatan undi PAS di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Langat

Jika strategi ini berjaya memindahkan ribuan pengundi PAS dari Kelantan dan Terengganu ke Selangor, maka ia boleh menjejaskan pola undi di tiga kawasan tersebut

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu mengukur sejauh mana keberkesanan strategi PAS untuk memindahkan ribuan pengundi luar ke Selangor bagi menghadapi pilihan raya akan datang dan memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

Penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi ketika dihubungi Scoop berkata, jika mobilisasi ini berjaya memindahkan ribuan pengundi PAS dari Kelantan dan Terengganu ke Selangor, maka PH perlu mengambil serius perkara itu.

“PH harus mengambil serius potensi peningkatan undi PAS di kawasan marginal seperti Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Langat. 

“Ini adalah kawasan di mana jika berlaku perubahan walaupun sedikit dalam pola undi, ia boleh menjejaskan status quo PH,” katanya kepada Scoop.

Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata strategi PAS itu bagaimanapun dilihat sebagai pengakuan tidak langsung parti berkenaan berdepan dengan kesukaran untuk menembusi pengundi yang lebih agresif. – Gambar Laman Web UM, 21 Mac, 2025

Baru-baru ini, dua pemimpin PAS Selangor telah mencadangkan supaya mereka yang berdaftar sebagai pengundi di negeri lain tetapi menetap di Selangor segera memindahkan alamat undi ke negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri dan Ketua Penerangan negeri itu, Zurk Ahmad berkata, langkah itu dapat meningkatkan jumlah pengundi Perikatan Nasional (PN) di Selangor terutama di kawasan majoriti kaum Melayu dan luar bandar.

Mengulas lanjut, Awang Azman bagaimanapun berkata, PH tidak perlu panik namun tidak boleh leka dan kekal waspada dengan strategi pembangkang.

“Realitinya, trend pengundi luar Selangor yang bekerja di Lembah Klang tetapi masih berdaftar di kampung halaman seperti Kelantan dan Terengganu, sudah lama wujud.

“PH perlu mengukur sejauh mana keberkesanan seruan PAS ini, kerana tidak semua pengundi luar sanggup menukar alamat hanya semata-mata atas dasar seruan politik, lebih-lebih lagi prosesnya agak rumit dan pengundi mungkin lebih selesa kekal mengundi di kampung halaman,” katanya.

Beliau turut menyifatkan strategi PAS ini sebagai pengakuan tidak langsung kesukaran dihadapi parti itu untuk menembusi pengundi yang lebih progresif.

Tindakan yang cenderung kepada ‘terdesak’ itu, katanya mencerminkan cabaran sebenar PAS di Selangor berbanding pengundi di Kelantan dan Terengganu yang lebih konservatif.

“PAS sedar bahawa Selangor merupakan negeri yang lebih heterogen dari segi komposisi kaum dan pengundi bandar yang cenderung kepada PH, khususnya PKR dan DAP. 

“Kebergantungan PAS kepada undi orang Melayu di Selangor mungkin tidak cukup kuat terutama di kawasan separa bandar dan bandar. 

“Strategi menarik pengundi luar ini boleh dilihat sebagai pengakuan tidak langsung bahawa PAS menghadapi kesukaran menembusi pengundi Selangor yang lebih progresif berbanding pengundi Kelantan dan Terengganu yang lebih konservatif.

“Tindakan ini boleh dibaca sebagai ‘kecenderungan desperation’ untuk mencipta gelombang PAS di Selangor yang sebenarnya sukar dicapai secara organik melalui pengundi asal Selangor,” katanya.

Prof Rusdi Omar berkata ramai penduduk Kelantan, Terengganu dan Kedah bekerja di Selangor namun hati mereka masih di kampung halaman. – Gambar media sosial, 21 Mac, 2025

Sementara itu, Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Rusdi Omar berkata, langkah berkenaan sangat berisiko kepada kerajaan negeri PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Jelasnya, ia juga berkemungkinan PAS menang di Selangor tetapi kalah di tiga negeri berkenaan.

Secara tradisi, katanya, rakyat di tiga negeri itu ramai yang mencari rezeki di Selangor namun hati mereka masih di kampung dan ini adalah faktor kenapa mereka tidak menukar alamat serta kekal menjadi pengundi berdaftar di negeri masing-masing.

“Pemikiran penyokong PAS di Selangor dan di tiga negeri ini berbeza, kebanyakan mereka mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan mampu mengundi berdasarkan calon yang dipilih, bukan memilih mengundi mengikut parti semata-mata.

“Mereka ini bukan sahaja di Selangor tetapi juga ada di Pulau Pinang, Perak dan Johor. Di negeri itu mereka dapat pelbagai manfaat dan bantuan daripada kerajaan negeri. Jadi jika dapat mengundi di Selangor, mereka tidak semestinya akan undi PAS sahaja.

“Keputusan PRU (Pilihan Raya Umum)  lalu menunjukkan jumlah undi diterima PH-BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional) daripada pengundi yang menetap di tiga negeri itu tidak jauh berbeza, namun apabila pengundi luar balik maka keadaan menjadi berbeza.

“Pengundi luar ini yang menentukan parti mana yang menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana mereka sudah tahu siapa akan diundi apabila mereka balik mengundi di kampung dan ia memberi kelebihan kepada PAS,” katanya. – 21 Mac, 2025

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related