Tak salah bina sebelah kuil, tapi yang salah ia tanah milik syarikat jadi perlu ikut peraturan: Anwar

Perdana Menteri berkata masjid berhampiran agak sesak, tempat baharu perlu ada jadi upacara meletak batu asas masjid pada 27 Mac akan diteruskan

2:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak salah untuk membina masjid di tapak bersebelahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India tetapi yang salahnya ialah tanah itu adalah milik syarikat, justeru perlu mengikut peraturan.

Menurut Perdana Menteri, ruang juga diberikan kepada kuil untuk dipindahkan dengan baik.

“Ada bagi tahu apa salahnya buat masjid di tepi kuil itu, memang tak salah tetapi salahnya tanah itu milik syarikat.

“Jadi ikut peraturannya. Dan kita pula beri ruang kepada kuil itu untuk pindah dengan baik.

“Arahan kita konsisten. Tan Sri (Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain) tahu, Ketua Polis Kuala Lumpur tahu, jangan sesekali ganggu dan jangan persulitkan amalan mereka,’’ katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Sebelum ini ada pihak yang mencadangkan supaya Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur dikekalkan di lokasi sedia ada manakala masjid yang baru dibina di atas tapak kosong bersebelahan.

Menurut Anwar, Majlis Agama Wilayah Persekutuan, syarikat berkenaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diminta supaya sederhana, sopan dan berbincang dengan baik serta mencari jalan penyelesaian.

“Kawasan-kawasan amalan di situ, masjid-masjid berdekatan, sesak. Perlu ada tempat baharu. Jadi, sebab itu saya akan teruskan untuk meletakkan batu asas di masjid pada 27 hari bulan (Mac) ini,’’ katanya.

Anwar juga memberitahu kelulusan masjid itu adalah pada 2019 dan bila diluluskan untuk pembinaan masjid maka ia bermakna syarikat berkenaan mesti mewakafkan tanah itu.

‘Biar saya tegaskan, kebenaran masjid diluluskan 2019. Tahu Perdana Menteri pada masa itu?

“Bila diberikan kebenaran pembangunan pada 2020, Perdana Menteri baru ambil alih.

“Bila diluluskan kebenaran mula membangunkan atau membina pada 2021, Perdana Menteri satu lagi.

“Yang salah Perdana Menteri sekarang. Ni macam cerita Adendum dulu, yang tangkap Perdana Menteri lama, yang dakwa Perdana Menteri selepas itu, yang masuk penjara masa Perdana Menteri sebelum saya, yang salah PMX.

“Tapi tak mengapa kita boleh hadapi baik-baik,’’ katanya.

Beliau juga memberitahu, kerajaan tidak menggunakan agama Islam sebagai agama Persekutuan untuk menekan mana-mana pihak, dan sesiapa jua, sama ada kumpulan majoriti atau minoriti adalah tertakluk kepada hukum dan undang-undang.

“Kita tidak boleh ada bentuk tirani pihak majoriti, sama juga kita tidak boleh terima tirani kelompok minoriti. Kita kena pertahankan apa yang disebut nilai Madani ini,” katanya. – 25 Mac, 2025

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related