KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) yakin dengan kemampuan untuk menawan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang jika kesedaran pengundi ‘luar’ yang bermastautin di negeri itu terus dipertingkat.
Bercakap kepada Scoop, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul isu untuk menggesa pengundi terbabit menukar alamat dan mengundi di kawasan mereka tinggal kerana perkara itu sudah pun berlaku.
“Sistem daftar automatik bagi pengundi baru memang berdasarkan alamat dalam kad pengenalan.
“Maka tidak timbul (soal) untuk mengundi di kawasan mereka tinggal, kerana realitinya memang ianya sudah berlaku.
“Bagi pengundi yang berhasrat untuk mengundi di kawasan tempat tinggal mereka, itu terpulang kepada mereka.
“Manakala bagi sesetengah pengundi, ada lebih suka mengundi di kampung mereka sambil balik bagi menziarahi keluarga,” katanya ketika dihubungi Scoop.
Tuan Ibrahim berkata, demografi pengundi akan berubah dan ramai yang akan mengundi di kawasan di mana mereka bermastautin.
“Perubahan demografi pengundi semakin dapat dilihat seperti berlaku sekarang ini kerana ada yang jumlah melebihi 100,000 (di kawasan tertentu) tetapi ada yang sangat kurang, jadi perkara ini perlu dilihat secara adil ,” katanya.
Ditanya sama ada langkah itu akan memberi kelebihan kepada PN mahu pun PAS untuk menawan Selangor pada PRN akan datang, beliau berkata, banyak faktor yang akan mempengaruhi keputusan pilihan raya.
“Cuma nak ditekankan di sini adalah kesedaran pengundi yang menjadi antara faktornya.
“Malah kajian lebih teliti perlu dibuat bagi menentukan serta mempastikan sama ada ianya (tukar alamat mengundi) mempengaruhi keputusan pilihan raya,” katanya.
Baru-baru ini, dua pemimpin PAS Selangor telah mencadangkan supaya mereka yang berdaftar sebagai pengundi di negeri lain tetapi menetap di Selangor segera memindahkan alamat undi ke negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri dan Ketua Penerangan negeri itu, Zurk Ahmad berkata, langkah itu dapat meningkatkan jumlah pengundi Perikatan Nasional (PN) di Selangor terutama di kawasan majoriti kaum Melayu dan luar bandar.
Susulan itu penganalisis politik berpandangan PH perlu mengukur sejauh mana keberkesanan strategi PAS untuk memindahkan ribuan pengundi luar ke Selangor bagi menghadapi pilihan raya akan datang dan memastikan kemenangan PN di negeri itu.
Penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi ketika dihubungi Scoop berkata, jika mobilisasi ini berjaya memindahkan ribuan pengundi PAS dari Kelantan dan Terengganu ke Selangor, maka PH perlu mengambil serius perkara itu.
Kerajaan Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PH-BN) kini memegang 35 daripada 56 kerusi DUN Selangor, manakala PN pula baki 21 kerusi dengan 10 daripadanya milik PAS.
PN sebenarnya mampu menang dengan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri sekiranya ketika PRN lalu berjaya memenangi lapan kerusi tambahan. – 5 April, 2025