KUALA LUMPUR – Seorang pakar pendidikan berpendapat ada banyak cara boleh dilakukan untuk menunjukkan kecintaan kepada Jalur Gemilang dengan lebih realistik dan sesuai dengan murid atau pelajar.
Pensyarah dari Universiti UCSI, Othman Talib berkata ia termasuk mengibarkan Jalur Gemilang dikibarkan di sekolah, dimuralkan di tempat sesuai, disematkan dalam kelas atau dilukis di sudut sekolah yang strategik.
“Jika Jalur Gemilang makin banyak makin sayang negara, elok wajibkan bendera dikibar di semua premis kerajaan, persis hari-hari adalah hari kebangsaan.
“Namun itu tidak berlaku baik di mana sahaja, sedang ada banyak cara boleh dilakukan untuk menunjukkan kecintaan kepada Jalur Gemilang dengan cara lebih realisitik, sesuai dengan murid atau pelajar sekolah,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi satu kenyataan memaklumkan akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa 21 April depan secara berperingkat, untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta negara dalam kalangan murid dan warga pendidik.
Menurut KPM, pemakaian lencana Jalur Gemilang itu melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.
Menurut Othman, beliau bersetuju semangat patriotik cintakan negara perlu dipupuk sejak kecil namun Malaysia mempunyai lima juta murid dan bermakna akan ada lima juta pakaian seragam dengan lencana Jalur Gemilang.
“Dengan berjuta-berjuta uniform dengan lencana Jalur Gemilang, maka gemilangnya akan ‘pudar’ dan ia bukan lagi sesuatu yang ‘berharga’ kerana wujud bersepah di mana-mana dan boleh berada di lantai, malah mungkin sahaja menjadi kain buruk atau koyak dan terbiar, malah boleh sahaja diinjak-injak secara sedar atau tidak.
Justeru, katanya, adalah penting untuk menggalakkan perbincangan dan dialog terbuka mengenai cara terbaik memupuk semangat patriotisme dalam kalangan murid dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak untuk mencapai pendekatan yang paling sesuai dan berkesan.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar perlu dilakukan secara berperingkat tanpa paksaan supaya pelajar dapat menyesuaikan diri.
“Langkah itu dilakukan secara berperingkat dan tidak dipaksa serta merta atau dikenakan denda jika pelajar berkenaan tidak memakai lencana berkenaan.
“Ia kerana kemungkinan pelajar belum membiasakan diri memakai lencana berkenaan khususnya bagi murid sekolah rendah,’’ katanya, lapor BH.
Beliau turut mencadangkan reka bentuk atau cara pemakaian lencana berbeza mengikut peringkat sekolah bagi memudahkan pelajar menyesuaikan diri.
“Sebagai contoh, bagi sekolah rendah, lencana boleh dijahit terus pada pakaian bagi mengelakkan ia mudah tercicir atau terlupa digunakan,’’ katanya. – 28 Mac, 2025