KUALA LUMPUR – Keputusan pemakaian lencana Jalur Gemilang kepada pelajar sekolah telah dibincangkan dengan teliti bagi menerapkan semangat patriotisme, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya Perdana Menteri, banyak negara jiran telah melaksanakannya sejak sekian lama.
“Tiada yang susah, bendera diberi percuma, lekat saja. Banyak negara jiran sudah lama buat. Kita sudah fikir, bincang sana sini, (jadi) buat sajalah.
“Supaya anak-anak kita dari awal dididik untuk kasih kepada negara, itu saja. Saya tidak fikir hal ini pun mahu dijadikan polemik yang panjang.
“Tengok negara jiran, yang saya tahu sudah lama amalkan. Jadi bila dicadangkan KPM (Kementerian Pendidikan), cadangan lama yang tertangguh saya putuskan dan Jemaah Menteri setuju supaya dapat dilaksana segera dengan pemberian bendera secara percuma,” katanya selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda, di Shah Alam, hari ini.
Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi satu kenyataan memaklumkan akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa 21 April depan secara berperingkat, untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta negara dalam kalangan murid dan warga pendidik.
Menurut KPM, pemakaian lencana Jalur Gemilang itu melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia. – 28 Mac, 2025