Adakah Jakel membuat pinjaman RM14 juta untuk membeli tanah yang menempatkan kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman?

Butiran pinjaman tersebut menunjukkan tempoh 180 bulan bermula Julai 2014 dan pegangan hartanah dalam laporan tahunan meningkat kepada RM42.1 juta daripada RM15.7 juta pada 2013

2:59 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketika pertikaian mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman semakin reda, persoalan masih berlegar berhubung urus niaga tanah yang memungkinkan pembinaan Masjid Madani.

Dokumen syarikat mendedahkan Jakel Trading Sdn Bhd memperoleh pinjaman sebanyak RM14.112 juta pada 2014 untuk membeli tanah yang menjadi pertikaian di Masjid India, tempat terletaknya Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman yang berusia 130 tahun.

Menurut laporan tahunan Jakel Trading bagi tempoh April hingga Disember 2014, yang diperoleh Scoop, syarikat itu memperoleh pinjaman daripada RHB Bank Bhd untuk membeli tanah di Lot 328, Lorong Bunus 6, Seksyen 40. Alamat tersebut dilaporkan sepadan dengan lokasi kuil Hindu berkenaan.

Butiran tambahan menunjukkan pinjaman itu mempunyai tempoh pembayaran balik selama 180 bulan bermula pada Julai 2014, dengan bayaran bulanan sebanyak RM110,497 pada Kadar Asas Islamik sebanyak 2% setahun.

Satu dokumen berasingan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyatakan Jakel Trading memperoleh kemudahan Pembiayaan Berjangka Komoditi Murabaha-i sebanyak RM14.112 juta daripada RHB Islamic Bank Bhd, yang dicagar terhadap tanah berkenaan.

Laporan tahunan Jakel Trading bagi 2014 juga menunjukkan pegangan hartanah syarikat meningkat daripada RM15.7 juta pada tahun 2013 kepada RM42.1 juta pada tahun berikutnya.

Selain itu, dokumen SSM menggambarkan hartanah yang dimaksudkan sebagai ‘tanah kosong komersial’.

Tanah tersebut menjadi pertikaian susulan kehadiran kuil, yang perlu dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Masjid Madani.

Pada 25 Mac, jawatankuasa kuil bersetuju untuk berpindah ke tapak baharu yang terletak 50 meter dari lokasi asal dengan keluasan tanah yang sama iaitu 4,000 kaki persegi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, persetujuan ini dicapai selepas perbincangan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pihak pengurusan kuil diadakan.

Beliau juga memberi jaminan tiada perobohan akan dilakukan terhadap struktur kuil sedia ada, membolehkan ia terus beroperasi sehingga proses pemindahan selesai dengan cara yang harmoni.

Sementara Setiausaha kuil, Kartik Gunaseelan, menyatakan penghargaan atas penyelesaian ini dengan menyatakan tapak baharu yang terletak dalam kawasan Jalan Masjid India adalah alternatif yang sesuai.

Pada 27 Mac, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata syarikat itu telah menunggu selama 11 tahun untuk memulakan pembinaan masjid tersebut.

Beliau mendedahkan rundingan untuk memperoleh tanah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)bermula seawal 2009, dengan pembayaran deposit sebanyak 10% dibuat pada Ogos 2012, diikuti tandatangan perjanjian jual beli pada 2014.

Dalam satu sidang media pada 20 Mac, peguam N. Surendran dan Datuk Ambiga Sreenevasan, yang mewakili jawatankuasa kuil, mendakwa bahawa kuil itu tidak dimaklumkan mengenai penjualan tanah oleh DBKL kepada Jakel Trading.

Namun, sebelum persetujuan pemindahan dicapai, mereka menyatakan harapan agar kuil itu dapat kekal di tapak asalnya. Kedua-dua peguam itu juga menggesa kerajaan untuk mendedahkan perjanjian jual beli tanah tersebut.

Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada majlis pecah tanah Masjid Madani pada 27 Mac, berkata penyelesaian isu ini bukanlah tentang kemenangan atau keangkuhan, tetapi tentang kebijaksanaan, kekuatan dan kehormatan Islam.

Beliau menekankan rundingan damai yang membawa kepada pemindahan kuil bukan tanda kelemahan sebaliknya satu bentuk penghormatan dan persefahaman.

Anwar turut menegaskan kerajaan sentiasa mengutamakan dialog dan kompromi, memastikan masjid dan kuil dapat wujud secara harmoni. – 30 Mac 2025

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

Mount Ruang eruption: MAS, AirAsia, Batik Air cancel flights between KL and Sabah, S’wak

Multiple flights between KL and both Sabah as well as Sarawak have been cancelled following the eruption of Mount Ruang in Indonesia.

Related