KUALA LUMPUR — Satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa kebakaran saluran paip Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua mangsa yang terlibat akan ditempatkan di PPS tersebut untuk sementara waktu.
“Unit Pengurusan Bencana Daerah telah mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa yang terlibat sementara waktu sehingga keadaan pulih dan terkawal.,’’ katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Amirudin juga memberitahu, Bomba sedang dalam proses memadamkan kebakaran dan telah mengarahkan pemindahan penduduk di kawasan sekitar.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dalam proses memindahkan penduduk setempat dari lokasi berhampiran kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar, anggaran saluran terbakar adalah 500 meter dan berlaku di kawasan perumahan awam.
Bomba, katanya menerima menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 8.23 pagi tadi.
“Setakat ini ini belum dapat dipastikan bilangan penduduk yang terlibat (dipindahkan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Seramai 41 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Puchong, Shah Alam, Bukit Jelutong, Cyberjaya, Rawang, Klang Selatan, Klang Utara dan Damansara dikerahkan ke lokasi kejadian. – 1 April, 2025