Letupan gas Putra Heights: Kelulusan pencerobohan ROW MBSJ perlu diteliti, kata pakar undang-undang perancangan

Derek Fernandez menegaskan, hanya kerana kelulusan diberikan tidak semestinya ia betul

4:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hanya kerana kelulusan diberikan, tidak bermakna ia betul.

Demikian rumusan pakar undang-undang perancangan terkenal Derek Fernandez berhubung dakwaan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bahawa projek lot kedai berhampiran saluran paip gas di Putra Heights yang meletup pada 1 April lalu telah mendapat kelulusan majlis.

Datuk Amirul Azizan Abd Rahim semalam berkata projek itu diluluskan MBSJ pada 2022 dan mendapat kebenaran daripada Petronas untuk menggunakan hak laluan (ROW) untuk kemudahan pembetungan.

Amirul menambah, kontraktor terbabit mendapat kelulusan panel syarikat pembetungan negara Indah Water Konsortium (IWK).

Walau bagaimanapun, beberapa jam kemudian, IWK membuat kejutan – menjauhkan diri daripada projek itu dan mengesahkan bahawa kontraktor terbabit bukan sebahagian daripada panel kontraktor yang diluluskan IWK.

Fernandez berkata memandangkan terlalu banyak persoalan yang timbul, kita perlu kembali ke titik permulaan.

Pakar undang-undang perancangan, Derek Fernandez berkata, kelulusan yang diberikan kepada projek berhampiran saluran paip gas di Putra Heights, yang membawa kepada letupan gas dan kebakaran besar di kawasan itu, perlu diteliti. – Gambar fail Scoop, 3 April 2025

“Berdasarkan apa yang dilaporkan media, adalah bijak untuk bertanya sama ada majlis tempatan – dalam kes ini, MBSJ – boleh meluluskan kemudahan pembetungan secara sah di Rizab Laluan (ROW) gas, yang merupakan zon penampan seperti yang tersirat dalam laporan media,” katanya kepada Scoop.

Kenyataan Fernandez ini dibuat dua hari selepas letupan yang menjejaskan 148 rumah dan memusnahkan 87 yang lain. Seramai 145 orang mengalami pelbagai tahap kecederaan.

“Tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan ‘Petronas telah memberikan kebenaran penggunaan Rizab Laluan (ROW) untuk kerja pembetungan’,” katanya, memetik kenyataan Amirul dalam laporan media.

“Ia adalah isu keselamatan,” tegas Fernandez.

“Tidak kira sama ada Petronas, seperti yang didakwa dalam laporan media, bersetuju dengan perkara ini. Malah, saya tidak fikir ia terpulang kepada Petronas. Kata putus terletak di tangan pihak berkuasa tempatan,” tambah Fernandez, yang pernah menjadi ahli majlis Petaling Jaya dan ahli jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) selama 13 tahun.

“Saya pasti kedua-dua MBSJ dan Petronas memahami apa itu zon penampan dan mengapa ia diperlukan. Tujuan utamanya adalah untuk melindungi saluran paip daripada aktiviti manusia, mengurangkan impak getaran dan menjaga jarak daripada sebarang ancaman keselamatan.

“Anda tidak sepatutnya menggali di sekitar saluran paip gas atau menjalankan perkhidmatan kumbahan atau paip melalui kawasan itu.

“Pergerakan bumi di kawasan sekitar boleh melemahkan sendi dan struktur sekali gus menyebabkan peningkatan risiko kebocoran mikro dari semasa ke semasa.

“Dalam kes ini, proses kelulusan perlu diteliti secara menyeluruh, sama seperti penentuan punca letupan,” katanya.

Fernandez berkata lazimnya pemaju mesti menyediakan tanah yang mencukupi untuk kemudahan pembetungan, dan sebagai sebahagian daripada kelulusan perancangan, ia mesti membina kemudahan itu dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa berkenaan jika perlu.

“Sekiranya pemaju tidak berbuat demikian, sijil siap dan pematuhan (CCC) tidak boleh dikeluarkan. Pemaju mesti mengemukakan dalam permohonannya lokasi pembetungan di atas tanah sendiri dalam susun atur yang dicadangkan.

“Biasanya, OSC tidak akan sekali-kali meluluskan sebarang kemudahan seperti Rizab Laluan (ROW) gas atau zon penampan untuk saluran paip gas jika ia ditanda dengan jelas pada pelan itu,” katanya. – 3 April 2025

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related