SHAH ALAM — Kerajaan negeri akan mengagihkan bantuan tunai RM2,500 dan RM5,000 kepada mangsa kebakaran saluran paip gas Putra Heights Isnin ini (7 April), kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Pihak berkuasa, bersama Petronas, juga sedang mengatur penginapan jangka pendek yang lebih sesuai untuk mangsa yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara, katanya pada sidang media di bangunan DUN Selangor hari ini.
“Bantuan wang tunai akan diagihkan kepada mangsa dalam lingkungan RM2,500 dan RM5,000 berdasarkan tahap kerosakan yang mereka alami dan pengagihan akan bermula Isnin ini.
“Menjelang akhir minggu ini, kerajaan negeri akan menentukan penyelesaian lebih sesuai dan selesa bagi penginapan mangsa yang tidak dapat pulang ke rumah mereka termasuk tawaran Petronas untuk menempatkan mangsa.
“Pejabat saya juga telah dihubungi oleh syarikat seperti Airbnb, yang boleh menawarkan penyelesaian penginapan sementara tanpa kos kepada penduduk sehingga pengaturan perumahan jangka panjang ditentukan,” kata Amirudin.
Bantuan tunai itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. RM5,000 adalah untuk isi rumah yang mengalami kerugian sepenuhnya, manakala RM2,500 untuk rumah yang rosak.
Daripada jumlah keseluruhan 235 harta benda yang musnah akibat kebakaran itu, Amirudin berkata 87 rumah dianggap “musnah sepenuhnya” dan tidak boleh didiami.
148 rumah yang mengalami kerosakan boleh didiami tetapi hanya selepas pembaikan dibuat.
Beliau berkata, seramai 1,254 mangsa daripada 308 keluarga telah dikenal pasti dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Setakat hari ini, 630 daripada mereka daripada 157 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Dewan Camelia.
624 lagi mangsa daripada 151 keluarga tinggal bersama saudara-mara atau rakan-rakan, atau telah menguruskan keperluan sendiri, kata Amiruddin.
Dua mangsa masih berada di Unit Rawatan Rapi hospital kerajaan — seorang di Hospital Ampang dan seorang lagi di Hospital Kuala Lumpur — kerana masalah paru-paru akibat terhidu asap.
Sukarelawan
Amirudin juga berkata kerajaan negeri telah mengaktifkan “Tabung Prihatin” untuk membantu mangsa dan sedang menyelaras dengan penderma pelbagai bentuk bantuan, termasuk dana, pinjaman, barangan keperluan dan pengangkutan.
“Prasarana menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi mangsa untuk melakukan perjalanan antara rumah mereka yang terjejas dan pusat pemindahan, sekiranya mereka ingin mengambil barang peribadi mereka.
“Syarikat penyedia pinjaman kredit dan kereta, iaitu Aeon, Carsome, dan Cherry, juga telah bersetuju untuk menawarkan pinjaman dan kenderaan kepada mereka yang terjejas.”
Tambahnya, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan lain boleh menghubungi jabatan kebajikan daerah.
“Orang ramai sentiasa boleh menghubungi jabatan kebajikan dan melakukan bahagian mereka, tetapi adalah lebih baik jika mereka menumpukan pada sumbangan yang perlu untuk mangsa dan mengelak daripada menderma barangan yang tidak diperlukan atau berpotensi memudaratkan,” tambah Amirudin. – 3 April 2025