KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri memberi jaminan laporan teknikal terperinci kejadian letupan paip gas di Putra Heights akan dimaklumkan kepada umum namun lebih banyak masa diperlukan untuk melengkapkan siasatan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses menyiapkan laporan kini sedang berjalan.
“Tapi kita tak ada keluarkan laporan bertulis tetapi akan maklumkan penemuan baharu dan sejauh mana siasatan sudah dijalankan bagi tempoh 72 jam dari tempoh kejadian berlaku.
“Kita akan beri jangka masa juga memandangkan pasukan siasatan memerlukan suatu tempoh bersesuaian untuk melaksanakan tugas mereka dan menyediakan laporan teknikal yang terperinci.
“Contohnya kita perlukan perincian tanah dan ini akan diterangkan Ketua Polis Selangor dan CPO dan wakil Jabatan Kerja Raya yang menjalankan siasatan jenayah teknikal dan kecuaian.
“Untuk laporan teknikal (penuh) perlu lebih banyak masa, Kalau dah dapat compile (kumpul) secara bertulis, definitely kita akan publickan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan kereta sementara Chery kepada mangsa di pekarangan Masjid Putra Heights di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.
Sementara itu 25 mangsa insiden letupan gas bawah tanah di Putra Heights di sini, mula menerima bantuan kenderaan sementara.
Kesemua mereka menerima sumbangan kenderaan utiliti sukan (SUV) sumbangan pihak swasta dan pemberian wang petrol bernilai RM100.
Amirudin berkata, baki 25 lagi kenderaan sementara yang dipersetujui bersama syarikat berkenaan sebelum ini, akan diserahkan kepada kumpulan kedua mangsa insiden itu, seawal Isnin ini.
Beliau berkata, keseluruhan kenderaan itu akan digunakan mangsa bagi tempoh selama sebulan.
“Saya berterima kasih kepada syarikat yang sudah menunaikan janjinya. Malah, mereka turut memberikan duit petrol bernilai RM100 kepada peminjam kereta.
“Syarikat sama turut menyumbangkan RM50,000 kepada pengurusan Masjid Putra Heights di sini, bagi menampung kos utiliti sepanjang premis ini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.
Kebakaran besar paip gas di Putra Heights itu berlaku pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter (m) yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.
Sementara itu, Amirudin berkata, pihaknya ketika ini, sudah menerima 112 permohonan daripada mangsa insiden terbabit yang memerlukan kenderaan sementara.
“Kita menerima lebih 200 tawaran kenderaan sementara yang sedia dipinjamkan kepada mangsa daripada pelbagai entiti korporat.
“Kita terima komitmen membabitkan 50 kenderaan daripada Carsome, manakala Carro (30), GoCar (20), dan DRB-Hicom (62),” katanya. – 4 April, 2025