SUBANG JAYA – Petronas tidak mempunyai maklumat mengenai kebocoran pada paip gas yang menyebabkan berlakunya letupan di Putra Height, Selasa lalu, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Ini kerana, kata Hussein, Petronas akan dapat mengesan menerusi pusat kawalannya jika berlaku sebarang keboroan atau kerana sistemnya sangat sensitif.
Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui sama ada berlaku kebocoran atau tidak.
“Kalau ada kebocoran, Petronas boleh kesan sebab sistem mereka cukup sensitif. Tapi buat masa ini, mereka tidak dapat sahkan sebarang kebocoran. Kita masih siasat.
“Banyak benda yang perlu dilakukan dan perkara ini boleh kita ketahui selepas kita korek lubang di pusat letupan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, Petronas turut memaklumkan usia paip sudah 30 tahun dan dipasang pada 1991.
“Polis akan melihat data yang ada di sistem petronas. Aliran atau jajaran paip gas daripada Kerteh Terengganu, sampai sini dan ke Segamat, Johor terus ke utara di Perlis dan Thailand.
“Dalam tempoh tersebut tak pernah berlaku (kebocoran) namun ini kejadian ketiga jika dikira kejadian di Sabah dan Sarawak tapi disebabkan gempa bumi,” katanya.
Ditanya adakah aktiviti korek tanah itu dilakukan di atas tanah rizab, Hussein memberitahu”
“Itu masih dalam siasatan kita’’.
Selain itu beliau berkata, berdasarkan makluman Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), terdapat tiga unsur yang menyebabkan letupan gas.
“Gas, oksigen dan juga initial, kalau kebocoran gas sahaja dia tak akan meletup sekiranya tidak ada initialnya (pendorong percikan).
“Jadi kita kena siasat kalau gas bocor, apa yang menyebabkan kebocoran di kawasan itu,” katanya.
Ditanya sama ada laporan akhir siasatan akan dijadikan dokumen awam, Hussein berkata perkara itu akan diputuskan kerajaan negeri kemudian.
“Dari masa ke semasa kita akan dedahkan hasil siasatan, dan kebiasaannya akan umum laporan akhir, namun biar jawatankuasa teknikal dan kerajaan negeri putuskan,” katanya.
Selasa lalu, berlaku kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya. – 4 April, 2025