Malaysia sudah jangka kenaikan tarif AS ‘ambil langkah pelbagaikan pasaran eksport’: Zafrul

Menurut Tengku Zafrul, buat masa ini impak kepada Malaysia tidak begitu teruk

1:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia telah lama menyedari mengenai kenaikan tarif timbal balik sebanyak 24% oleh Amerika Syarikat dan telah mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kesannya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Tengku Zafrul, buat masa ini impak kepada Malaysia tidak begitu teruk, tidak seperti negara jiran seperti Vietnam yang dikenakan 46%, Vietnam (46%), Thailand (37%) dan Indonesia (32%). 

Beliau memberitahu, sejak dulu Malaysia cuba mempelbagaikan pasaran eksport malah pada tahun lalu eksport ke Oman, Kenya dan Namibia mencapai rekod baharu.

Antara pasaran lain yang mencatatkan peningkatan, katanya, ialah Angola dengan kenaikan 59.3%, diikuti Ethiopia (56.4%), Mesir (53.6%) dan Algeria (27.9%).

“Kita juga giat menjalankan perjanjian perdagangan bebas dengan pelbagai negara. Awal tahun ini kita sudah tandatangan dengan CEBA ( Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (MY-UAE CEPA), kita juga sudah mulakan rundingan FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) dengan EU (Kesatuan Eropah) dan Korea pada tahun lepas,’’ katanya.

Beliau berkata demikian menerusi klip video penerangan mengenai kes kenaikan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menerusi media sosialnya.

Tengku Zafrul turut menggunakan bahasa yang mudah untuk menjelaskan kepada ramai mengenai kesan kenaikan tarif timbal balik sebanyak 24% oleh AS.

Beliau mengajak orang ramai membayangkan AS sebagai pemilik kedai fesyen yang tidak berpuas hati apabila pengguna membeli baju buatan China yang lebih murah berbanding buatan negara itu.

“Bayangkan jika China sebelum ini menjual baju tersebut ke AS pada harga US$100 sehelai, kini harganya naik kepada US$154 selepas tarif 54% dikenakan oleh AS.

“Pemilik kedai di Amerika percaya bahawa apabila pakaian import menjadi mahal, pengguna tempatan tidak akan membelinya, dan syarikat-syarikat Amerika yang beroperasi di luar negara akan kembali membuka kilang di AS.

“Tapi, apabila barang import menjadi mahal, siapa yang perlu tanggung kos? Ia adalah pengguna Amerika. Mereka yang biasa beli baju pada harga US$100, kini perlu bayar US$154,” jelas Tengku Zafrul.

Beliau menambah, banyak barangan yang dijual di AS akan menjadi lebih mahal, menyebabkan pengguna berbelanja kurang kerana inflasi. Kuasa beli yang merosot ini akhirnya mewujudkan ekonomi yang perlahan.

Tengku Zafrul juga menegaskan bahawa ekonomi domestik Malaysia kekal kukuh, dengan 60% pertumbuhan disumbang oleh perbelanjaan dalam negeri. 

“Perdagangan antara negara Asean masih rendah di bawah 25%. Sebagai Pengerusi Asean 2025, antara fokus Malaysia ialah meningkatkan perdagangan antara negara Asean.

“Sumber kekuatan kita sebenarnya ialah ekonomi tempatan. Orang Malaysia masih kuat berbelanja, lebih 60% daripada ekonomi kita dipacu oleh perbelanjaan dalam negara,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang merangka langkah-langkah menyeluruh untuk menangani cabaran tarif ini.

“Pada masa yang sama, kita akan terus berunding dengan kerajaan dan syarikat-syarikat untuk mencari penyelesaian menang-menang bagi semua pihak. Percayalah, kerajaan sentiasa berusaha memastikan kepentingan ekonomi negara dan rakyat sentiasa dilindungi sebaik mungkin,” jamin beliau.

MITI turut mengesahkan bahawa Malaysia tidak akan mengenakan tarif balas terhadap barangan dari AS, sebaliknya sedang giat berhubung dengan pihak berkuasa Amerika untuk mencari penyelesaian berdasarkan semangat perdagangan bebas dan adil.

Ahli ekonomi pula mencadangkan agar Putrajaya tidak membalas tindakan tersebut, sebaliknya melonggarkan sekatan perdagangan dan tarif ke atas barangan Amerika sebagai langkah memujuk AS agar menurunkan kadar tarif yang dikenakan. – 6 April 2024

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

Related