KUALA LUMPUR — Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi meskipun pelaksanaan tarif 24% oleh Amerika Syarikat memandangkan ekonomi negara kekal berdaya tahan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ekonomi negara juga masih berada dalam keadaan kukuh.
“Jika tarif 24% itu dilaksanakan, dari sudut ekonomi, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2025 antara 4.5% hingga 5.5% perlu dikaji semula.
“Namun buat masa ini, izinkan saya memberi jaminan bahawa kerajaan tidak menjangka Malaysia akan memasuki kemelesetan ekonomi,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dalam satu mesej khas menerusi video yang dimuat naik menerusi media sosial bagi mengulas isu tarif AS.
Ini kerana asas ekonomi makro negara kekal kukuh, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang teguh, pelaburan domestik yang kukuh, hasil pelancongan serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional bagi pelbagai sektor dan industri.
Beliau mengulangi bahawa Putrajaya tidak akan mengenakan tarif balas sebaliknya telah memulakan rundingan peringkat tinggi dengan AS untuk mencari penyelesaian yang adil.
“Fundamental ekonomi kita yang kukuh akan membolehkan kita menghadapi cabaran ini dari kedudukan kekuatan dan kesiapsiagaan,” kata Anwar.
Namun, beliau mengakui terdapat cabaran kepada sektor tertentu yang akan terkesan akibat tarif 24% itu.
“Walaupun beberapa pengecualian sebahagiannya melindungi sektor semikonduktor — kategori eksport terbesar Malaysia ke AS — tarif baharu ini tetap akan memberi kesan negatif kepada banyak industri Malaysia termasuk tekstil, perabot, getah dan plastik.”
Beliau turut menjangkakan kesan dalam jangka sederhana dan panjang, memandangkan Malaysia merupakan salah satu rakan dagang terbesar AS di rantau ini dan destinasi utama pelaburan langsung asing dari negara tersebut.
“Tarif ini juga telah menjejaskan hampir semua rakan dagang dan pelaburan Malaysia yang lain dan berkemungkinan melambatkan pertumbuhan ekonomi global,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata kerajaan memahami kebimbangan, keresahan dan kesukaran yang dihadapi oleh para rakyat, pengilang dan perniagaan.
“Kita teguh dengan tekad untuk mengatasi dan menyesuaikan diri dengan cabaran ini.
“Jangan silap, kita memandang serius isu tarif ini kerana ia mencabar prinsip asas perdagangan bebas tanpa diskriminasi yang menjadi tunjang peraturan perdagangan global.
“Lebih jauh lagi, ia menyentuh teras identiti Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan bebas yang tidak berpihak dan memberi kesan kepada kelangsungan hidup serta keselamatan ekonomi ramai rakyat Malaysia yang bergantung kepada akses terbuka dan adil ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menolak dakwaan oleh Amerika Syarikat bahawa negara ini mengenakan tarif sebanyak 47% ke atas import dari AS.
“Asas pengiraan tarif ini adalah secara asasnya cacat (fundamentally flawed), yang telah menyebabkan Malaysia secara tidak tepat dikenakan tarif balas sebanyak 24%.
“Namun begitu, respons kita akan kekal tenang, tegas dan berpandukan kepada kepentingan strategik Malaysia.
“Matlamat kita jelas. Kita komited sepenuhnya untuk mencapai penyelesaian yang menguntungkan, yang dapat mengekalkan akses pasaran yang penting, menarik pelaburan asing yang berterusan, serta menyokong kebajikan pekerja dan perniagaan Malaysia,” kata Perdana Menteri.
Beliau turut menyifatkan keputusan unilateral AS mengenai tarif balas ini sebagai “ancaman besar terhadap sistem perdagangan dan pelaburan global semasa”.
“Tarif yang dikenakan ke atas setiap negara yang berdagang dengan AS adalah satu penolakan terhadap prinsip perdagangan bebas, tidak diskriminatif, boleh diramal dan terbuka di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang berpangkalan di Geneva… sebuah organisasi yang turut diasaskan oleh AS sendiri pada tahun 1948 melalui Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT),” tambahnya.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 2 April telah mengumumkan tarif sebanyak 10% ke atas semua produk yang dihantar ke AS bermula 5 April dan mulai 9 April, tarif 24% akan dikenakan ke atas kebanyakan produk Malaysia.
Langkah terhadap 168 negara ini, dengan kadar tarif berbeza, telah mengejutkan pasaran dan mencetuskan perang perdagangan global selepas China mengambil tindak balas.
Anwar berkata, kerajaan Madani akan berunding secara membina dengan AS bagi melindungi akses pasaran penting, mengekalkan keyakinan pelaburr dan memastikan hasil yang adil untuk pengeksport negara.
“Pendek kata, kita mesti mencari penyelesaian yang boleh diterima bersama, adil dan saksama. Beberapa usaha ini sudah pun dimulakan.
“Kementerian Perdagangan dan kementerian luar sedang menganalisis kesan tarif ini secara terperinci, menjalankan simulasi, berunding dengan pihak industri dan berkomunikasi secara terus dengan rakan sejawat mereka dalam kerajaan AS serta syarikat-syarikat Amerika yang telah lama beroperasi di Malaysia.
“Perdagangan kita dibina atas rangkaian rakan dagang serantau dan global yang pelbagai, yang telah diperkukuh selama bertahun-tahun – termasuk melalui ASEAN, Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dan rundingan yang sedang berlangsung dengan Kesatuan Eropah serta pengukuhan hubungan dengan negara-negara di Selatan Global,” katanya.
“Kerajaan telah mengambil beberapa langkah awal untuk menangani kesan tarif ini, termasuk penubuhan Pusat Komando Geoekonomi Negara (NGCC) yang saya sendiri pengerusikan,” kata Anwar. – 6 April 2025