KUALA LUMPUR – Tiga penyampai radio Era yang direhatkan selama hampir sebulan susulan kontroversi berhubung upacara keagamaan, kembali bersiaran hari ini.
Gandingan Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir muncul dalam segmen 3Pagi Era.
Era.je dalam hantaran di Instagram memaparkan trio berkenaan bergambar dengan mengenakan baju Melayu.
“Segak lah eh geng #3PAGIERA harini berbaju Melayu. Alhamdulillah harini baru diaorang dapat bermaaf-maafan lepas lama tak jumpa,’’ kata kapsyen di instagram berkenaan.
Menerusi perkongsian tersebut juga, trio berkenaan segak mengenakan baju melayu bergambar untuk tatapan peminat mereka selain merakamkan momen solat Subuh berjemaah.
Kemunculan Radin, Nabil dan Azad itu mendapat perhatian peminat mereka yang mengucapkan selamat bertugas semula.
Sementara itu, Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin dalam satu kenyataan berkata, sepanjang ketiga penyampai 3Pagi ERA direhatkan, Sharifah Shahira (Kak Rare), Haziq dan Namie menggantikan tempat mereka.
Beliau memberitahu penyampai 3Pagi ERA Nabil, Azad dan Radin turut teruja untuk kembali bersiaran di studio selepas mereka direhatkan.
“Ini adalah peluang terbaik buat mereka untuk merapatkan semula hubungan mereka dengan pendengar yang tidak henti-hentiu menyokong kerjaya mereka,’’ katanya.
Tiga penyampai tersebut sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila didakwa mempersendakan upacara tarian agama Hindu dan digantung daripada ke udara dalam segmen 3 Pagi Era oleh Astro Audio sementara siasatan dalaman dijalankan.
Selain itu, ketiga-tiga mereka termasuk tiga kakitangan stesen tersebut turut dipanggil memberikan keterangan di Bukit Aman bagi dirakamkan percakapan.
Pada 11 Mac lalu, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali stesen radio Era FM sebaliknya mengenakan kompaun sebanyak RM250,000.
MCMC dalam kenyataannya memaklumkan, kompaun itu dikenakan bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.
Katanya, kompaun tersebut dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara. – 7 April, 2025