KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor telah bersetuju untuk menyediakan bantuan sewa lebih daripada RM7.35 juta kepada 613 keluarga yang terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights minggu lalu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut Amirudin, bantuan sewa sebanyak RM2,000 sebulan akan diberikan selama enam bulan kepada keluarga tersebut bagi membolehkan mereka menyewa rumah sementara menunggu kediaman mereka dibaiki atau dibina semula.
Mengenai kerosakan yang dialami oleh mangsa, Amirudin mendedahkan jumlah kerugian kepada kediaman mereka adalah sebanyak RM65.4 juta, termasuk kos pendawaian elektrik.
“Bagaimanapun, tindakan pantas oleh pasukan bomba dan penyelamat telah membantu menyelamatkan (harta benda) bernilai kira-kira RM285.9 juta.
“Perlu diingat pihak polis menerima laporan pertama (berkaitan insiden) pada jam 8.09 pagi, dan anggota bomba tiba pada 8.22 pagi. Saluran gas pertama ditutup pada 8.46 pagi dan saluran kedua pada 11.46 pagi. Api berjaya dipadamkan sekitar jam 3.45 petang.
“Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat, dibantu oleh orang awam,’’ katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, hari ini
Amirudin juga memberitahu bermula petang ini, 219 keluarga yang telah berdaftar dengan Unit Pengurusan Bencana Negeri akan mula menerima bantuan daripada kerajaan persekutuan dan Petronas melalui kerajaan negeri.
Beliau berkata pemilik rumah yang mengalami kerosakan total akan menerima RM10,000, dengan RM5,000 disumbangkan oleh kerajaan persekutuan dan baki RM5,000 oleh Petronas.
Sementara itu, pemilik rumah yang mengalami kerosakan sebahagian dan penyewa akan menerima RM5,000, dengan RM2,500 masing-masing daripada kerajaan persekutuan dan syarikat minyak negara tersebut.
Kebakaran paip gas yang berlaku pada jam 8.10 pagi Selasa, 1 April lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Ia mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.45 petang.
Letupan itu menyebabkan 1,254 orang daripada 308 keluarga kehilangan tempat tinggal, dan sebanyak 87 rumah musnah sepenuhnya. Sebanyak 148 rumah lagi mengalami kerosakan tetapi masih boleh didiami.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan untuk menentukan punca letupan serta meneliti kemungkinan elemen jenayah terlibat.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata polis telah merakam keterangan daripada 118 saksi, termasuk 15 kontraktor, subkontraktor dan pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja pengorekan berdekatan paip gas bagi tujuan penggantian paip pembetungan.
Dengan sesi persekolahan yang bermula semula hari ini, Amirudin juga memberitahu kira-kira 20% daripada 265 pelajar yang terjejas oleh insiden itu hadir ke sekolah, di mana sebahagian besar dipercayai masih trauma akibat kejadian tersebut.
Oleh itu, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor akan menghantar pegawai mereka ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membantu pelajar-pelajar yang ditempatkan di sana untuk menyambung proses pembelajaran serta mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan.
Selain itu, Menteri Besar Incorporated (MBI) akan menyerahkan RM500 kepada setiap daripada 265 pelajar yang terjejas. – 7 April 2025