SUBANG JAYA – Kerajaan Negeri Selangor menjangkakan bekalan elektrik dan telekomunikasi di lokasi terjejas akibat kebakaran saluran paip gas, di Putra Heights, di sini, akan pulih sepenuhnya pada Jumaat.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, kerja penyelarasan isu terbabit dibuat bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan secepat mungkin di seluruh lokasi terlibat dalam insiden berkenaan.
“Bekalan meter akan dipasang sehingga tuan rumah sedia untuk masuk semula kediaman, tapi tempat yang tidak selamat dan rosak teruk tidak disambung (bekalan elektrik).
“Selain itu, pihak Telekom Malaysia juga memaklumkan perkhidmatan mereka akan dibaik pulih pada Jumaat,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan berhubung kes ini masih dilakukan dengan teliti bagi memastikan punca sebenar kejadian.
“Siasatan semua sudah sedia maklum, ia akan ambil sedikit masa, hendak teliti punca sepenuhnya sebelum akan diumum oleh Menteri Besar Selangor mengenai kesimpulan serta bukti berkaitan.
“Kita tidak ada apa hendak sembunyi. Sekarang ini untuk keselamatan semua. Sebelum ini ada insiden yang hampir seperti ini dan perlu diambil kira sebelum dedahkan apa punca,” katanya.
Beliau berkata, tidak timbul isu seperti dakwaan di media sosial kerana pihak terbabit di lokasi melakukan kerja dengan kelulusan permit oleh pihak Petronas dan dilakukan dengan prosedur.
Selain itu katanya, menerusi mesyuarat jawatankuasa yang dilaksanakan, langkah susulan jajaran paip gas seluruh Selangor telah dibincangkan untuk diambil langkah tambahan agar insiden sebegini tidak berulang.
“Itu antara perkara paling penting sedang dibuat di peringkat kerajaan negeri. Perkara ini sedang dibincang dan akan dibentang kemudian,” katanya. – 8 April, 2025