KUALA LUMPUR — Kegagalan syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4) oleh empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) untuk membantu Terengganu terutama dalam isu Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri menunjukkan kelemahan kerjasama pengurusan pentadbiran negeri yang ditadbir PAS itu.
Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik, Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, pemberian bonus berkenaan merupakan contoh yang mudah menunjukkan SG4 tidak memberi impak positif dan hanya sekadar gimik politik semata-mata.
Sedangkan isu berkenaan, kata pensyarah kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM) itu, ia boleh ditangani dengan mudah tanpa bantuan daripada Persekutuan memandangkan negeri-negeri juga mempunyai sumber lain dan keuntungan daripada pelbagai agensi GLC (syarikat berkait kerajaan) negeri.
“Anak syarikat kerajaan negeri seharusnya mampu memberi hasil kepada kerajaan negeri dan menjadi sumber kewangan kepada pentadbirannya. Bagi saya, apa yang berlaku ini lebih kepada kelemahan pengurusan pentadbiran negeri,” katanya kepada Scoop.

Pada September 2024, empat negeri dikuasai PN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mengambil langkah bersama untuk berkongsi kekayaan dengan membentuk syarikat SG4 Group.
Negeri-negeri berkenaan turut melantik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat.
Mengulas lanjut, Tawfiq memberitahu, penubuhan SG4 ini dilihat duplikasi kepada Lima Koridor Pembangunan Ekonomi Wilayah yang wujud sejak 2010.
“Malah saya lihat Lima Koridor Pembangunan Wilayah ini lebih berjaya dan mencapai matlamat kerana tidak bermotifkan politik berbanding SG4 yang menggabungkan negeri-negeri di bawah PN sahaja,” katanya.
Justeru Tawfiq berkata, kerajaan negeri tersebut perlu menjalin kerjasama lebih erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan ekonomi tempatan.
“Saya lihat SG4 ini tidak mampu pergi jauh dan adalah wajar kerajaan negeri mempergiatkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan ekonomi tempatan.
“Ia boleh dilakukan menerusi pelbagai usaha seperti penarikan pelabur, penambahan pelaburan sedia ada dan meneroka peluang penjanaan ekonomi baru.
“Berbanding mewujudkan bibit-bibit konfrontasi dasar serta pendekatan pembangunan ekonomi seperti ini,” katanya.
Pada sidang Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, September tahun lalu, Dr Mahathir berkata, setiap satu negeri akan memiliki kepentingan yang sama dalam syarikat tersebut.
Menurut Dr Mahathir, syarikat yang ditubuhkan itu hanya memberi tumpuan untuk pembangunan empat negeri berkenaan, bukannya membawa haluan lain daripada kerajaan persekutuan.
Syarikat S4G Group memberi tumpuan kepada lima kluster membabitkan kluster infastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan; dan sumber pendapatan baru. – 12 April, 2025