KUALA LUMPUR – Semua Exco Selangor akan menyumbang RM1,000 daripada gaji mereka bagi membantu mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, potongan gaji masing-masing RM200 dan RM50 juga turut dilaksanakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan penjawat awam bergred 48 dan ke atas.
“Bagi menambah dan juga meningkatkan lagi solidariti, rakyat Selangor terutamanya dalam kalangan penjawat awam, pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan sumbangan.
“Berikutan itu semua Exco akan menyumbang RM1,000, sementara Adun akan memberikan sebanyak RM200, Ahli Majlis (RM100) dan penjawat awam yang bergred 48 dan ke atas akan menyumbang RM50 daripada gaji mereka.
“Secara keseluruhannya, anggota pentadbiran awam negeri akan menyumbang sebanyak anggaran RM102,050 yang disumbangkan kepada Tabung Prihatin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, sumbangan dalam tabung itu juga dapat menampung pembiayaan bagi proses pemulihan yang sedang dirancang oleh kerajaan negeri.
“Kita sudah mula menerima komitmen daripada pelbagai pihak dan sekiranya dapat mengumpulkan satu dana yang signifikan, ia dapat membantu menampung keperluan tambahan atau keperluan sewa baik pulih.
“Ini semua akan kita lihat, kerana tabung ini atas permintaan sebenarnya daripada mereka yang ingin menyampaikan sumbangan wang terhadap mangsa secara langsung kepada kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) akan ditutup secara berperingkat mulai malam ini.
“PPS Dewan Camelia yang diduduki 16 keluarga akan ditutup malam ini, mereka telah ditawarkan perumahan ‘homestay’ melalui
kerjasama Kerajaan Negeri bersama Airbnb yang bersetuju menawarkan perumahan percuma untuk tempoh selama 1 bulan
secara percuma bermula hari ini.
“Bagi penduduk di PPS Masjid Putra Heights pula, proses pendaftaran ‘homestay’ Airbnb akan bermula malam ini dan dijangka selesai sepenuhnya pada hari Ahad ini untuk semua penduduk,” katanya. – 9 April, 2025