KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menganaktiri pemberian peruntukan untuk negeri-negeri pembangkang malah peruntukan kepada Kelantan meningkat 30% tahun lepas daripada RM762 juta berbanding RM588 juta pada 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, peruntukan kepada Terengganu juga merekodkan kenaikan sebanyak 28% kepada RM2.02 bilion tahun lepas berbanding RM1.57 bilion pada tahun sebelumnya.
“Di Kelantan saya juga nak betulkan, Datuk Menteri Besar faham tapi kadang-kadang di bahagian bawah ni orang tanya kenapa Kelantan Terangganu dianaktirikan, wang ehsan tak sampai, jadi saya nak jelas. Saya nak terangkan kerana saya hormati dan terima baik persahabatan yang ditunjukkan oleh kepimpinan Kelantan, jadi kita teruskan untuk faedah rakyat.
“Peningkatan ini meliputi pemberian seperti MARRIS (Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya), TAHAP (Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup), geran per kapita, wang ihsan serta peruntukan di bawah senarai bersama.
“Peruntukan ini merupakan sumber utama hasil negeri, khususnya bagi Kelantan dan Terengganu, yang masing-masing hanya menjana sekitar RM500 juta dan RM250 juta hasil daripada sumber negeri sendiri,” katanya ketika berucap ada Majlis Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, Kelantan, hari ini.
Kerajaan Persekutuan, juga katanya turut meluluskan peruntukan program basmi kemiskinan berjumlah RM25 juta untuk Kelantan dan RM60 juta untuk Terengganu bagi tahun 2025.
Sementara itu ketibaan Perdana Menteri yang diiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada 10.45 pagi disambut oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menyegerakan projek tebatan banjir di Kelantan, bagi mengelak masalah banjir saban tahun yang menjejaskan kehidupan rakyat negeri itu.
Selain itu, kerajaan juga akan melihat kepada beberapa kaedah baharu bukan hanya untuk menangani masalah banjir tetapi juga isu ketiadaan air apabila tiba musim kemarau.
“Negeri ini kadang-kadang air melimpah banjir, bulan berikutnya kering kontang air tidak ada.
“Allah berikan kita kekuatan, ikhtiar, teknologi, apa air melimpah itu tidak boleh disimpan untuk musim kemarau? Tentu boleh,” katanya.
Justeru beliau telah meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dan Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kewangan melihat beberapa kaedah baharu itu. – 12 April, 2025