Kebakaran Putra Heights: lebih 4,000 sukarelawan digerakkan untuk pembersihan besar-besaran

Operasi selama dua hari itu melibatkan kakitangan kerajaan negeri dan pelbagai agensi

2:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lebih 4,000 sukarelawan digerakkan secara besar-besaran menerusi Ops Mega Pembersihan ke dua lokaliti utama yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, operasi berlangsung selama dua hari dan dijangka selesai esok itu disertai sukarelawan terdiri kakitangan Kerajaan Negeri dan pelbagai agensi.

“Dalam tempoh seminggu ini hampir 80 hingga 90% pembersihan di Putra Heights berjaya diselesaikan KDEB Waste Management (KDEBWM).

“Kerja pembersihan di kawasan Putra Heights sebenarnya telah bermula awal sedikit dan sekarang ni sebahagian besar fokus kita adalah pembersihan di Kampung Kuala Sungai Baru kerana baru sahaja dibenarkan pihak polis untuk memasuki kawasan itu pertengahan minggu ini.

“Sukarelawan di Kampung Kuala Sungai Baru akan digandakan memandangkan jumlah sampah lebih banyak selain kawasannya yang lebih sukar.

“Saya berharap operasi dua hari ini mampu selesaikan isu pembersihan di kawasan awam dan juga bantu meringankan beban pemilik rumah yang sudah mula memasuki rumah mulai pertengahan minggu ini ataupun awal minggu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian program ‘Ops Mega Pembersihan’ di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan yang terlibat hari ini, seramai 600 merupakan sukarelawan, manakala selebihnya melibatkan 1,495 anggota daripada pelbagai agensi dan institusi luar.

Operasi ini turut disokong oleh penggunaan 144 unit jentera dan kenderaan seperti lori water jetter, tangki air, Roll-On-Roll-On (RORO), backhoe, road sweeper, skylift dan mesin pencincang kayu bagi mempercepat kerja-kerja pembersihan.

Ops Mega Pembersihan adalah kolaborasi antara pelbagai jabatan kerajaan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, PDRM, ATM, JBPM, JKR, KDEBWM, dan 11 lagi Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor.

Selain itu, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan SWCorp, serta syarikat konsesi seperti Alam Flora, Southern Waste dan E-Idama turut menyertai operasi, bersama sukarelawan SERVE daripada Majlis Sukan Negeri Selangor.

Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dan menyatakan harapan agar operasi dua hari ini dapat menyelesaikan kerja-kerja pembersihan awam.

“Selain meringankan beban penduduk yang telah mula pulang ke rumah masing-masing sejak awal minggu ini,” katanya.

Selasa minggu lalu, satu kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, di sini pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Kebakaran saluran paip gas sepanjang 500 meter yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya. – 12 April, 2025

Topics

 

Hangat

Pardons Board should disclose reasons behind Najib’s sentence reduction, urges Ramkarpal

The Pardons Board should disclose the reasons behind its decision to grant ex-prime minister Datuk Seri Najib Razak a reduced prison sentence and fine, said Bukit Gelugor MP Ramkarpal Singh.

FashionValet’s RM43.9 mil loss sparks public scrutiny over co-owner Vivy Yusof

Social media users demand explanation from Duck, Lilit founder on how Khazanah, PNB’s RM47 mil investment was managed

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

Related