KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan beberapa lagi tangkapan akan dijalankan dalam waktu terdekat ke atas beberapa individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan skim penipuan pelaburan Ponzi yang dikenali sebagai Pelaburan MBI, yang berpusat di negara jiran.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, siasatan yang dijalankan oleh polis telah membawa kepada penemuan beberapa bukti baharu yang dipercayai mengaitkan lebih ramai individu dengan sindiket terbabit.
Jelasnya, siasatan juga mendapati skim Ponzi itu beroperasi sejak bertahun-tahun lalu dan menjadi antara sindiket pelaburan palsu paling aktif merentasi sempadan.
“Kebanyakan mangsa mula tampil membuat laporan polis selepas merasakan pelaburan mereka tidak membuahkan hasil, selain mula menyedari terdapat elemen penipuan yang tersusun dan terancang di sebalik skim berkenaan,’’ katanya, lapor Sinar Harian.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata polis telah menahan lapan individu dan merampas aset bernilai RM3.17 bilion dipercayai berkait rapat dengan skim penipuan pelaburan jenis Ponzi dikenali sebagai Pelaburan MBI yang berpusat di sebuah negara jiran.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita termasuk dua usahawan serta dua peguam masing-masing bergelar ‘Datuk’ berusia lingkungan 44 hingga 62 tahun.
Pihak berkuasa telah melumpuhkan satu operasi penipuan pelaburan dengan menahan lapan individu dan merampas aset bernilai RM3.17 bilion yang disyaki mempunyai kaitan dengan skim seakan Ponzi yang dikenali sebagai MBI Investments dari negara jiran.
Beliau memberitahu, mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita termasuk dua usahawan serta dua peguam masing-masing bergelar ‘Datuk’ berusia lingkungan 44 hingga 62 tahun.
Tangkapan itu, kata beliau, dijalankan pada 20 Mac lepas oleh pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara (USKPN) dalam Op Northern Star melalui tindakan rentas negara yang dilaksanakan hasil maklumat Notis Merah daripada Interpol.
Pada Ogos tahun lepas, pengasas Kumpulan MBI iaitu ahli perniagaan dari Malaysia, Tedy Teow Wooi Huat, yang ditangkap pihak berkuasa Thailand pada tahun 2022, diekstradisi ke China untuk menghadapi pertuduhan berkaitan penipuan.
Pada 21 Julai 2022, polis Thailand menangkap Teow selepas visanya dibatalkan. Teow dituduh mengatur skim piramid, menipu pelabur dan menjalankan multi level marketing.
Di Malaysia, pihak berkuasa membekukan 91 akaun bank yang dikaitkan dengan MBI Group International, bernilai RM177 juta, dan Bank Negara Malaysia menyenaraikan MBI sebagai syarikat yang menjalankan skim kewangan meragukan. – 12 April, 2025