KUALA LUMPUR – Dua calon Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan dan Dr Sathia Prakash Nadarajan masing-masing mempertahankan jawatan di peringkat cabang pada pemilihan parti kali ini.
Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, menang tanpa bertanding sebagai Ketua Cabang Sungai Buloh.
Beliau berjaya mempertahankan kedudukan di cabang berkenaan yang mempunyai 4,604 ahli layak mengundi.
Manakala Dr Sathia yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR menang di Cabang Hulu Selangor dengan 3,016 undi dalam pertandingan tiga penjuru di cabang itu.
Beliau menewaskan dua calon lain, bekas Ketua Cabang Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui hanya mampu berpuas hati dengan 993 undi dan J Kalaichelvan pula 609 undi.
Berdasarkan laman sesawang Pemilihan 2025 PKR, jumlah ahli yang layak mengundi di Cabang Hulu Selangor ialah 5,538 dengan kertas undi dikeluarkan ialah 4,618.
Semalam, sesi pengundian di Selangor berlangsung membabitkan 22 cabang antaranya Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Tanjong Karang, Selayang, Gombak, Pandan, Ampang, Hulu Langat, Bangi, Puchong, Petaling Jaya, Sungai Buloh, Shah Alam dan Subang dengan keseluruhan jumlah pengundi seramai 92,619. – 13 April, 2025