KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara hari ini.
Beliau tiba sekitar 10.35 pagi namun menggunakan pintu lain untuk masuk ke Dewan Solat Utama di Masjid Negara.
Kenderaan yang membawanya berhenti di lobi utama namun kemudian bergerak ke pintu belakang masjid.
Terdahulu, peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Najib telah mengemukakan permohonan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Jabatan Penjara hari ini.
“Pihak penjara sedang menguruskan perjalanan Najib ke Masjid Negara. Kami memohon agar perbicaraan pagi ini ditangguhkan.
“Mohon Najib dibenarkan keluar dari Mahkamah Tinggi pukul 10.15 pagi,” ujar beliau pada prosiding perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB),’’ katanya, lapor Malaysia Gazette.
Berikutan itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan hingga esok.
Muhammad Shafee turut memberitahu, anak guamnya memohon dibenarkan meninggalkan mahkamah lebih awal kerana solat jenazah akan diadakan selepas solat Zohor. – 15 April, 2025